Sejak malam tadi kisah Neelofa menjadi sohor kini di Twitter apabila pengacara dan pelakon popular itu didakwa bernikah senyap-senyap dengan Haris Ismail di Kelantan.
Bukan setakat itu, spekulasi penggunaan minyak pengasih turut menjadi topik hangat dalam kalangan netizen semasa mereka memperkatakan hubungan mereka yang didakwa kini berantakan.
Semuanya bermula selepas adik-beradik Neelofa memberi bayangan hubungan aktres itu dan peserta program bercorak keagamaan yang lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz tersebut dilanda badai.
Tinjauan mendapati dakwaan-dakwaan itu tersebar selepas beberapa tangkap layar paparan perbualan WhatsApp antara dua individu dimuat naik di media sosial.
Dalam perbualan berkenaan, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor didakwa bernikah dengan Haris di Kelantan berwalikan bapa kandungnya sendiri.
Majlis tersebut didakwa berlaku tanpa kehadiran ibu dan bapa tiri serta adik-beradik yang lain.
“Neelofa nikah di Kelantan tanpa pengetahuan Noor Kartini (ibu) dan Abdul Halim Khan (bapa tiri).
“Seminggu duit Neelofa habis RM100,000 beri kepada PU Riz dan keluarga,” dakwa individu terbabit.
Paparan mesej juga mendakwa, Neelofa, 31, kini sedang berubat kerana didakwa terkena ubat pengasih.
“Sekarang Neelofa sedang berubat, dia kena minyak pengasih,” kata individu tersebut.
Terdahulu, adik-beradik Neelofa termasuk Amira Khan memuat naik doa di Instagram supaya selebriti itu dijauhkan daripada sebarang perkara buruk.
“Jika seseorang menunjukkan siapa diri mereka sebenar, jangan cuba untuk menutupnya,” katanya.
Kami sedang cuba menghubungi kedua-dua pihak bagi mengesahkan spekulasi yang timbul.
Neelofa dikatakan merancang melangsungkan perkahwinan dengan Haris atau nama penuhnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, pada Mac tahun depan.
Pelakon Suri Hati Mr Pilot itu dikatakan dirisik keluarga Haris pada 1 Nov lalu dalam satu majlis tertutup di kediaman keluarga Neelofa.
Walaupun tidak mengesahkan sebarang spekulasi, Noor Kartini memuat naik kenyataan di Instagram seolah-olah menjelaskan situasi sebenar mengenai ikatan hubungan anaknya itu dengan Haris.
Bagaimanapun, foto-foto merisik dan kenyataan itu kini sudah diturunkan selain dia dan anak-anaknya yang lain sudah tidak mengikuti akaun Instagram Haris.