Kelantan sasar 150 hektar diusaha tanaman nanas tahun depan

Posted on

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mensasarkan lebih 150 hektar tanaman nanas variety Cobek, Madu Kaca dan MD2 dapat diusahakan di Kelantan termasuk di kawasan yang mempunyai tanah beris (berpasir), sepanjang tahun depan.

Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata petani yang tinggal di jajahan Bachok, Kota Baharu dan Pasir Puteh yang mempunyai kawasan tanah beris juga berpeluang mengusahakan tanaman berkenaan.

“Pendapatannya menyamai tanaman tembakau yang sebelum ini kawasan berkenaan terkenal dengan tanaman tembakau,” katanya kepada pemberita sempena lawatan ke Projek Usahasama Penanaman Nanas Cobek Antara Koperasi Kolej Vokasional Bachok Berhad dan Kota Eze Sdn Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan, Mohd Zamani Ab Ghani.

Che Abdullah berkata Kelantan mempunyai potensi besar untuk dimajukan dengan tanaman berkenaan memandangkan tanahnya yang subur dan nanas semakin diminati ramai dari pelbagai golongan masyarakat, dan permintaan di peringkat domestik masih tidak mencukupi.

Katanya tahun lepas, LPNM telah menguruskan kawasan seluas 300 hektar dengan tanaman nanas, yang membawa pulangan hasil sekitar RM7 juta.

“Pada tahun ini kementerian melalui LPNM memperuntukkan RM2.4 juta bagi membantu pekebun-pekebun nanas Kelantan untuk memperkembangkan tanaman itu di Jajahan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang dan Bachok,” katanya.

Beliau berkata 103 pekebun yang mengusahakan tanaman seluas hampir 70 hektar di kawasan berkenaan mendapat pelbagai insentif daripada kerajaan.

“Ini termasuk lebih satu hektar diusahakan dengan tanaman nanas Cobek dan MD2 di Kolej Vokasional Bachok membabitkan 47,000 pokok yang diusahakan secara berperingkat-peringkat di kawasan seluas 22.8 hektar,” katanya.

Beliau berkata projek berkenaan dapat memberi pendedahan dan melatih para pelajar di kolej berkenaan dalam mempelajari bidang pertanian khususnya berkaitan tanaman nanas melaui teknik-teknik serta kaedah penanaman yang betul.

sumber : BERNAMA

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.