Sudah hampir lima bulan bertudung dan membuat keputusan untuk berhijrah, pelakon Hannah Delisha mengakui dia semakin tenang menjalani kehidupan. Tidak risau lagi tentang soal rezeki, Hannah percaya semyanya sudah diatur oleh Allah.
Berkongsikan permulaan bagaimana dia ingin memakai tudung, Hannah mengakui sudah lama niat untuk berhijab namun disebabkan komitmen kerja dia perlu menangguhkan terlebih dahulu.
“Saya tak perlu lagi risau mengenai rezeki dan sebagainya kerana semuanya sudah diatur dengan baik oleh Allah. Sejujurnya, kehidupan saya juga kini menjadi lebih tenang dari semua sudut.
“Kalau diikutkan, saya sudah terdetik untuk memakai tudung agak lama juga. Namun, saya perlu habiskan penggambaran drama Cinta Sekali Lagi.
“Kalau nak tahu, watak saya sebagai Amanda dalam drama itu yang buatkan saya rasa lebih ingin bertudung. Saya cakap kepada diri saya, ini masanya untuk saya memakai tudung kerana niat hati saya dah semakin hari semakin kuat,” katanya.
Dalam ada itu, Hannah berkata meskipun sudah bertudung namun ia tidak menghalang untuknya membawakan watak antagonis, namun berpegang dengan prinsip tidak bersentuhan dengan pelakon lelaki.
“Walaupun kini saya sudah bertudung, itu tidak menjadi penghalang untuk saya terus berlakon dan menerima watak antagonis.
“Dalam dunia realiti, kita semua sedia maklum bahawa ada juga orang yang bertudung, tetapi memiliki hati yang jahat. Sekiranya lakonan watak yang saya bawakan itu mampu memberi pengajaran kepada penonton, tentunya saya akan terima.
“Untuk melakukan sesuatu babak romantik, pelakon tidak semestinya perlu bersentuhan. Yang penting adalah bagaimana situasi romantik itu dibawakan dan paling penting adalah teknik kamera,” katanya.