Upin Ipin

Kelibat imej arwah ibu bapa Upin, Ipin trending

Posted on

Kisah kain merah dipakai Ipin yang terbang dibawa angin dan paparan imej arwah ibu bapa pasangan kembar popular ini yang dipaparkan dalam episod musim ke-14, mencatat sejarah apabila trending di YouTube.

Episod terbaru siri animasi Upin & Ipin berjudul Kain Merah menyentuh hati penonton hingga menduduki tangga teratas di Indonesia dan tempat kelima trending di Malaysia.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata kejayaan itu disifatkan sebagai fenomena luar biasa bagi penerbitan siri animasi itu.

“Alhamdulillah, episod kain merah yang ditayangkan di stesen televisyen (TV) di Indonesia, MNC TV pada 15 Mac lalu trending tempat pertama di Indonesia.

“Episod itu menyentuh jiwa rakyat negara itu. Rata-rata komen di Facebook (FB), Twitter dan Instagram (IG) menyatakan penonton hiba hingga menitiskan air mata.

“Ini suatu fenomena bagi kami apabila siri kartun boleh menyentuh hati penonton seperti yang pernah dihasilkan pengarah filem Jepun, Hayao Miyazaki dalam filem animasi Kubur Kelip Kelip,” katanya.

Episod baharu Upin & Ipin itu berkisar kain merah dipakai Ipin hilang dibawa angin. Ipin sayu kerana kain itu dihasilkan arwah emaknya.

Upin Ipin

Burhanuddin berkata, plot cerita memaparkan Upin memberi kain merah miliknya kepada Ipin untuk menghilangkan kesedihan.

“Pada bahagian akhir siri ini, kami memasukkan ‘flashback’ yang menampilkan ibu dan bapa mereka tanpa menunjukkan wajah.

“Itu yang membuatkan ramai tersentuh dan turut sayu,” katanya.

Burhanuddin berkata, bukan sekadar trending di You Tube, malah episod itu menduduki senarai tiga program teratas yang disiarkan stesen TV Indonesia, MNCTV.

“Alhamdulillah, syukur, sebelum ini, episod Upin & Ipin Tumbuh Rambut juga trending di negara itu.

“Jika trending di sana, bermakna kuatlah penangan pasangan kembar ini,” katanya.

Burhanuddin berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama, tahun lalu, Fizi pernah trending pada kedudukan pertama berikutan kontroversi dialog dalam episod berjudul Syahdunya Syawal.

Sehubungan itu, bagi mengekalkan prestasi, Burhanuddin berkata, Les’ Copaque sentiasa tampil dengan hiburan berkualiti untuk pengikut setia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.