Seorang warga emas meninggal dunia ketika sedang solat Isyak berjemaah di Masjid Bandar Seri Putra di sini malam tadi.
Pengerusi Masjid, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, ketika kejadian, Abdul Latif Salleh, 75, tiba-tiba jatuh ketika sedang solat.
“Arwah seorang jemaah tegar Masjid Bandar Seri Putra dan setiap waktu akan datang berjemaah ke masjid ini dengan menunggang motosikal.
“Dia tiba-tiba jatuh ketika dalam rakaat kedua sebelum masuk rakaat ketiga waktu solat Isyak malam tadi,” katanya ketika dihubungi tadi.
Katanya, cara kematian arwah memang dicemburui kerana meninggal dunia ketika sedang solat dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika hadir ke masjid ini untuk solat berjemaah.
“Ketika itu arwah solat di saf kedua dalam keadaan ikut prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal dan cara kematian ini amat baik, ketika solat berjemaah di masjid. Arwah ketika itu sedang berdiri sebelum jatuh di rakaat kedua dan terus tidak sedarkan diri selain cuba diberi bantuan pernafasan.
“Pihak masjid kemudiannya menghubungi ambulans yang membawa arwah ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Ini kejadian pertama jemaah meninggal dunia ketika sedang solat di masjid ini,” katanya yang juga penceramah bebas ini.
Mohd Farid berkata, jenazah selamat dikebumikan jam 10.45 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Bandar Seri Putra, Kajang.