Kelantan Hadkan Masa Sejam sahaja untuk solat tarawih di masjid sepanjang malam ramadhan

Posted on

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan kegiatan ibadah di masjid dan surau dengan had masa satu jam sepanjang Ramadan ini.

Antara kegiatan ibadah tersebut adalah sembahyang berjemaah dan tarawih, tadarus al-Quran dan qiamullail.

Yang Dipertua Maik Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan kegiatan ini juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan.

“Bagi solat sunat terawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal satu meter dan boleh dilaksanakan sama ada lapan rakaat atau 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek, dalam tempoh tidak lebih satu jam tidak termasuk solat Isyak,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tengku Mohamad Rizam berkata penyampaian tazkirah pula tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan sembahyang tarawih tetapi tazkirah selepas sembahyang wajib, seperti selepas zuhur dan asar, dibenarkan.

“Aktiviti tadarus al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti masjid dan juga qiamullail dalam tempoh tidak melebihi satu jam,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata lagi, segala jamuan di masjid seperti acara berbuka puasa dan sahur serta moreh tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, pihak masjid dan surau digalakkan menyediakan makanan secara berbungkus untuk diagihkan kepada jemaah, katanya.

“Iktikaf di masjid adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter,” katanya lagi, sambil menambah kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan untuk menyertai ibadah di masjid, surau dan musolla sepanjang Ramadan ini.

Katanya, perkara itu telah diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berdasarkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, agar sembahyang tarawih dan beberapa kegiatan di masjid, surau dan musalla dibenarkan mengikut SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

“SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya pihak pengurusan masjid atau surau dan tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.