Sejak lapan tahun lalu, seorang lelaki hidup dalam timbunan sampah serta najis di dalam rumahnya di Kampung Padang Enggang, di sini, kerana tidak mahu menyusahkan anak serta ibunya yang sudah uzur.
Mohd Wardi Mustafa, 57, tinggal bersebelahan dengan rumah ibunya, Zaharah Mat Yunus, 78, dan mereka hanya dipisahkan dengan dinding konkrit.
Lebih menyedihkan, keadaan bilik dihuni oleh Mohd Wardi yang lumpuh sebelah kiri badan akibat kemalangan lapan tahun lalu dipenuhi dengan timbunan sampah sarap terdiri daripada sisa dan bekas makanan.
Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai mekanik untuk menyara keluarga, namun selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ketika dalam perjalanan ke Rantau Panjang, hidupnya mula berubah sehinggalah tidak berdaya melakukan apa-apa kerja.
“Lebih sebulan saya dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sebelum dibenarkan pulang ke rumah dan sejak itu saya mengambil keputusan tinggal bersendirian selain tidak mahu membebankan anak serta ibu yang sudah uzur serta mengalami masalah nyanyuk.
“Untuk mandi dan membuang kecil atau besar saya akan mengesot sendiri ke tandas menggunakan kudrat yang ada, manakala makan minum pula dihantar oleh anak cucu atau jiran,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan, Mahadi Awang menyantuni keluarga berkenaan dan menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung.
Mohd Wardi berkata, selepas arwah isteri keduanya meninggal dunia beberapa tahun lalu, anak perempuannya pernah mengajaknya untuk tinggal bersama namun dia enggan kerana tidak mahu menyusahkan anak menantu.
“Jika duduk dengan anak, saya akan mengejutkan mereka pada tengah malam kerana mahu buang air besar atau kecil.
“Disebabkan itu, saya memilih hidup bersendirian kerana anak perempuan saya juga perlu menguruskan neneknya termasuk memberi makan, minum serta memandikannya,” katanya.
Katanya, dia anak tunggal dalam keluarga dan tidak mempunyai adik beradik lain, namun dalam keadaannya sekarang, dia tidak mampu menjaga serta menguruskan ibunya menyebabkan anak perempuannya mengambil alih tanggungjawab berkenaan.
“Mujurlah saya mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, manakala ibu pula memperoleh bantuan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) RM400 sebulan yang boleh digunakan untuk membeli barang keperluan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi anaknya, Siti Nor Idayu di talian 012-9677348.
sumber : Harian Metro