Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang menjadi gelandangan di Bukit Raja di sini selepas ibu bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 pada Januari lalu dibantu penceramah popular, Ebit Lew.
Menurut Ebit di laman Facebook, beliau yang menerima pesanan mesej terus bergegas ke kawasan tersebut sebelum menemui kanak-kanak itu tidur di jalanan di lokasi tersebut.
“Dari jauh tengok adik ini, terus rasa hendak menangis sebab baik dan beradab sangat.
“Fikir macam mana hidup merata begini. Bila tanya mak ayah jer terus adik ni menangis. Allahuakbar. Saya sampai tadi terus adik cium tangan,” katanya.
Menurut penceramah itu, kanak-kanak itu yang tidak mempunyai telefon bimbit serta tidak mengenal beliau.
Tambah Ebit, kanak-kanak yang disifatkan mempunyai wajah yang suci itu turut menegaskan berpuasa dengan mendapat makanan hasil pemberian orang ramai untuk bersahur dan berbuka.
Kanak-kanak itu juga menyatakan tidak mempunyai sesiapa lagi selepas kematian ibu bapanya.
“Jangan cakap macam tu adik. Saya dan semua yang ada sini macam keluarga adik.
“Saya terus membuat laporan polis sebelum membawanya ke pasar raya,” jelasnya.
Ebit turut memaklumkan kanak-kanak itu juga bersetuju untuk mengikuti pembelajaran di madrasah dengan alasan untuk menemui ibu bapanya di syurga.
“Terus makin sedih,saya pun rindu mak. Rindu ayah. Kami bersolat bersama-sama dan terus hantar adik itu memasuki madrasah.
“Walaupun sekejap terasa rapat dan seperti keluarga dan berharap adik itu menjaga dirinya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ebit turut mendoakan kanak-kanak itu cemerlang dan menjadi anak yang soleh.
sumber: kosmo Online