Gua Musang: ‘Saya maafkan individu langgar lari anak saya’

Posted on

“Alhamdulillah anak saya semakin sembuh dan boleh menyambut Aidilfitri dengan penuh ceria,” kata Zuraini Ahmad.

Berikutan itu, Zuraini, 47, memaafkan individu yang melanggar lari anaknya, Faqih Yusof, 17, hingga tidak sedarkan diri dan ditinggalkan di tepi jalan.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanah Puteh dekat sini, Zuraini berkata, selepas kemalangan itu, dia amat risau dengan kecederaan dihadapi anaknya.

Katanya, anaknya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai patah tulang muka selepas menjadi mangsa kejadian langgar lari di Hentian Gua Musang pada 11.08 malam 14 Februari lalu.

“Faqih adalah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 dan turut cedera di mata selain berlaku darah beku di kepalanya.

“Alhamdulillah, selepas Faqih menerima rawatan dan pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, keadaannya semakin pulih.

“Selepas itu, terdetik di hati saya untuk memaaf pelaku itu kerana tidak ada kesudahannya jika terus simpan perasaan dendam,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kejadian itu, Faqih yang menunggang motosikal berseorangan dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja di Dataran Kesedar Bandar Baru Gua Musang.

Anak kelapan daripada 13 beradik itu yang parah ditinggalkan di tepi jalan dan dia kemudian menghadapi kesukaran untuk bercakap, makan dan minum kerana patah tulang rahang.

Sementara itu, Faqih berkata, ingatannya semakin pulih selepas menjalani pembedahan itu berbanding sebelum ini tidak ingat apa-apa.

Menurutnya, berikutan perkembangan positif itu, dia dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan rakan serta jiran terdekat.

Katanya, lebih penting dia dapat menyambung persekolahan semula selepas ini, walaupun masih trauma apabila melihat motosikal serta enggan menunggang lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.