Lebih 100 penduduk Palestin di Gaza terbunuh dalam masa empat hari tercetusnya konflik ketenteraan dengan Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang diperintah oleh pejuang Hamas, seramai 103 penduduk terbunuh termasuk 27 kanak-kanak dan 11 wanita, sementara 580 lagi tercedera.
Manakala di Israel, tujuh orang dilaporkan terbunuh sejak Isnin lepas, termasuk seorang kanak-kanak.
Dalam pada itu, tentera Hamas semalam membedil roket ke Lapangan Terbang Ramon berhampiran Eliat, Israel.
Lapangan terbang kedua Israel itu menjadi lokasi kemasukan pesawat penumpang yang dilencongkan selepas lapangan terbang utama Israel di Tel Aviv diserang terlebih dahulu.
Seorang jurucakap tentera Hamas memaklumkan mengenai pelancaran roket seberat 250 kilogram itu dan meminta semua penerbangan antarabangsa untuk menghentikan penerbangan mereka ke mana-mana lapangan terbang Israel dengan segera.
Pejuang Hamas telah melancarkan serangan lebih 1,600 roket ke arah Israel sejak Isnin lepas, manakala Israel pula telah membedil sasaran Gaza lebih 600 kali.
Terdahulu, pihak berkuasa penerbangan awam Israel pada pagi semalam memaklumkan telah melencongkan semua pesawat penumpang yang menuju ke Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv ke Lapangan Terbang Ramon ketika amaran serangan udara sekali lagi dikeluarkan oleh tentera Hamas.
Semua pesawat antarabangsa membatalkan penerbangan ke Israel pada ketika ini.