Suami Isteri Jana pendapatan dengan cincau

Posted on

Tidak terlintas bagi pasangan suami isteri ini cubaan memasak sendiri jeli cincau atau lengkong untuk minuman seisi keluarga secara ‘suka-suka’ kini menjadi punca pendapatan sampingan untuk mereka.

Segalanya bermula apabila Muhammad Syafik Ab Rahman dan isterinya Nor Hafsah Omar, kedua-duanya berusia 32 tahun, memuat naik gambar cincau yang dimasak mereka di laman Facebook.

“Saya dan suami hanya sekadar berkongsi hasil jeli cincau yang kami buat selepas adik ipar tunjukkan cara menghasilkannya tahun lepas, tetapi memang tidak sangka ada yang minta kami menjualnya,” kata Nor Hafsah yang bertugas sebagai eksekutif di sebuah bank di sini kepada Bernama baru-baru ini.

Dari situ, beliau dan suaminya, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, mengorak langkah menghasilkan jeli cincau yang ditempah jiran dan kenalan dengan memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Ketika PKP masing-masing bekerja dari rumah dan tidak boleh keluar ke mana pun, jadi kami tidak boleh duduk diam. Dengan masa yang ada selepas selesai kerja hakiki, kami siapkan tempahan cincau,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Berkongsi cara menghasilkan jeli daripada daun Mesona Chinensis berkenaan, Nor Hafsah berkata sebanyak tiga bahan digunakan mereka iaitu daun yang di import daripada Indonesia, tepung ubi kayu dan air soda.

Menurutnya, daun berkenaan akan direbus dan ditapis sebelum dicampur tepung ubi kayu dan air soda.

“Campuran berkenaan akan dibiarkan keras dalam tempoh kira-kira dua jam,” katanya menambah bahawa sekilogram daun cincau dapat menghasilkan kira-kira 70 bekas jeli.

Menggunakan nama komersial ‘CheGuu Cincau’ untuk produk mereka, Muhammad Syafik berkata kini mereka mampu menghasilkan kira-kira 300 bekas seminggu berbanding hanya 30 pada awalnya.

Katanya selain jeli cincau, mereka juga turut menjual air minuman cincau dan pek permulaan atau Cincau Starterpack Home menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.

Pasangan suami isteri itu juga kini mampu berbangga apabila produk yang diusahakan mereka dalam tempoh setahun turut dipasarkan di 30 pasar raya, kedai runcit termasuk stesen minyak di sekitar Kuantan selain mempunyai ejen jualan di Melaka dan Lembah Klang.

Malah, mereka turut menyewa sebuah lot kedai selepas tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan di rumah, terutama ketika bulan Ramadan yang mana lebih 700 bekas jeli cincau perlu dihasilkan selain lebih 8,000 botol tempahan minuman cincau diterima.

Muhammad Syafik berkata mereka kini merancang untuk meningkatkan kualiti perniagaan produk Muslim berkenaan dengan mendapatkan pensijilan halal dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.