Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang awal hari ini telah memberi pertimbangan penuh untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh, seperti mana PKP 1.0 yang dijalankan pada tahun lepas.
Sejak dilanda gelombang ke tiga COVID-19 bermula Mac tahun ini, negara terus menyaksikan pertambahan kes COVID-19 secara mendadak, dengan 8,290 kes baharu dicatat.
Sumber memberitahu, mereka yang terlibat dalam mesyuarat tersebut telah membincangkan dengan penuh teliti semua langkah dan pilihan yang dirasakan terbaik.
Menurutnya lagi, langkah sebesar itu perlu mengambil kira bukan sahaja keselamatan dan nyawa rakyat, tetapi juga demi meminimakan sebaik mungkin kesannya ke atas ekonomi negara, seperti mana pengajaran yang boleh diambil pada PKP pertama.
“Kebanyakan menteri setuju nak lockdown sebab kes terlampau tinggi. Tetapi sebelum ini beberapa pihak yang terlibat dalam mesyuarat itu merasakan perlu mengambil kira impak ke atas ekonomi, dan ini menyebabkan keputusan tidak dapat dicapai dengan cepat,” menurut sumber itu lagi.
Sejak dilanda gelombang ke tiga COVID-19 bermula Mac tahun ini, negara terus menyaksikan pertambahan kes COVID-19 secara mendadak, dengan 8,290 kes baharu dicatat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan di Twitter sebentar tadi turut memaklumkan, Selangor terus kekal sebagai negeri tertinggi dengan 2,052 kes baharu.
Menurut beliau, negeri-negeri lain dengan kes tertinggi ialah Kelantan (851 kes), Kuala Lumpur (830 kes), Johor (762 kes) dan Sarawak (698 kes).
Dalam pada itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ciapan terbaharunya berkata, beliau mengambil maklum bilangan kes yang meningkat mendadak hari ini.
“Langkah yang perlu diambil dalam situasi begini bukanlah jalan paling mudah, tetapi jalan yang terbaik untuk keselamatan kita bersama.
“Saya dah bawa cadangan ini ke atas, doakan semoga ada sinar untuk semua,” katanya ringkas, tanpa memperincikan cadangan yang beliau maksudkan.
Saya ambil maklum bilangan kes yang meningkat mendadak hari ini.
Langkah yang perlu diambil dalam situasi begini bukanlah jalan paling mudah, tapi jalan yang terbaik untuk keselamatan kita bersama.
Saya dah bawa cadangan ini ke atas, doakan semoga ada sinar untuk semua 🤲🏻 pic.twitter.com/qWGOZc6nKm
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) May 28, 2021
Sementara itu, seorang lagi sumber memaklumkan Perdana Menteri mungkin akan membuat pengumuman penting berhubung inisiatif terbaharu kerajaan dalam masa terdekat.
sumber: Astro AWANI