Kaunter pemotongan gelang merah jambu bagi individu yang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) di daerah ini ditukar ke cawangan Pejabat Kesihatan Kota Bharu bersebelahan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, sebelum ini, kaunter pemotongan gelang merah jambu bagi individu HSO dijalankan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu.
Katanya, perpindahan lokasi itu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di kawasan PKD yang terletak di Madinah Ramadan di sini yang juga berhampiran Stadium Muhammad IV.
“Sehubungan dengan itu, individu yang menjalani HSO tidak perlu ke PKD yang terletak di bandar untuk memotong gelang pink yang dipakai mereka bermula hari ini.
“Waktu operasi pemotongan gelang itu dijalankan mengikut masa yang ditetapkan iaitu bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari sebelum disambung semula 2.15 petang hingga 4.30 petang pada Ahad hingga Rabu.
“Bagi hari Khamis, operasi bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari sebelum disambung semula pada pukul 2.15 petang hingga 3.30 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Zaini, bagi hari Jumaat, Sabtu dan hari pelepasan am, kaunter pemotongan gelang pink dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Menurutnya, operasi kaunter pemotongan gelang di Putik itu akan berakhir sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
SUMBER: KOSMO ONLINE