PKRC baharu

48 jam katil penuh, tiga lagi PKRC baharu dibuka di Kelantan

Posted on

Tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di tiga buah daerah bakal dibuka di Kelantan selepas berlaku peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd.Azman Yacob berkata, lokasi PKRC itu sudah dikenal pasti iaitu di Pasir Puteh, Kuala Krai dan Machang selepas melihat katil di 14 pusat kuarantin lain di Kelantan penuh dalam tempoh 48 jam.

Katanya, sehubungan dengan itu, beliau dan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sudah melawat tiga tapak PKRC baharu itu baru-baru ini dan ia sesuai untuk menempatkan pesakit Covid-19 di daerah berkenaan.

“Kita mencari lokasi yang sudah ada kelengkapan seperti katil, tandas dan pendingin hawa bagi mengelak kerja-kerja pengubahsuian yang terlalu lama jika mahu mencari tempat baharu.

“Kebimbangan kita adalah apabila melihat pertambahan jumlah pesakit Covid-19 ketika ini selepas PKRC sudah hampir penuh. Terbaharu, PKRC yang baru dibuka beberapa hari lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat sudah penuh sejak semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PKRC Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Azman yang mengakhiri tugas hari ini turut ditemani penggantinya, Dr. Zurairie Mohd. Zubir sebagai Pengarah PKRC Kelantan selepas ini.

Dalam pada itu, menurut Mohd.Azman, PKRC Dewan JKKN itu akan dibuka pada minggu ini akan menempatkan sebanyak 220 katil termasuk kelengkapan khas kepada 70 untuk pesakit kategori tiga yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Katanya, pembukaan banyak PKRC di Kelantan juga disebabkan oleh pihaknya tidak menggalakkan warga emas menjalani tempoh kuarantin di rumah mereka.

sumber: Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.