Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh fasa pertama selama dua minggu yang bermula semalam disambut baik rakyat di seluruh negara.
Tinjauan Kosmo! di bandar-bandar besar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru dan George Town didapati lengang.
Ibu negara yang menjadi tumpuan orang ramai mencari rezeki juga sunyi dengan jumlah kenderaan yang minimum di atas jalan raya.
Kehadiran orang awam di lokasi-lokasi tumpuan di Kuala Lumpur seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Pasar Seni dan Bukit Bintang juga berkurangan.
Seorang peniaga kedai makan, Mohd. Sulaiman Yusof berkata, pengunjung yang datang ke premisnya untuk membungkus makanan tidak serancak hari biasa kerana banyak pejabat di sekitar Pasar Seni ditutup.
“Biasanya, sebaik kedai dibuka pukul 9 pagi, pelanggan mula serbu untuk bersarapan.
“Saya sudah menjangkakan keadaan ini, namun bersyukur kerana masih dibenarkan beroperasi,” katanya ketika ditemui.
Pekerja swasta, Mohd. Nazirul Abdul Jalil pula berkata, keadaan di dalam tren semalam tidak sesak berbanding sebelum ini.
“Selalunya tren penuh, namun hari ini berkurangan kerana ada yang bekerja dari rumah. Saya pula masuk pejabat ikut sistem penggiliran,” katanya.
Di Shah Alam, pihak berkuasa mengambil langkah menutup lokasi tumpuan termasuk Dataran Kemerdekaan bagi mengelakkan kehadiran orang ramai.
Beberapa pusat beli-belah juga juga kelihatan sunyi.
Seorang pekerja pusat beli-belah Plaza Shah Alam yang enggan dikenali berkata, kehadiran pengunjung adalah terkawal dan hanya seorang wakil keluarga dibenarkan untuk membeli barangan keperluan.
Sementara itu, seorang pengunjung dikenali sebagai Ahmad, 40, pula berkata, penguatkuasaan yang lebih ketat menyebabkan orang ramai patuh arahan duduk di rumah.
Di George Town pula, rata-rata penduduk di bandar raya itu memberi kerjasama baik dengan berada di rumah masing-masing semalam.
Tinjauan mendapati hanya kenderaan perdagangan, motosikal penghantar makanan dan kereta persendirian yang mempunyai surat kebenaran bekerja berada di atas jalan raya.
Di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu arah Jambatan Pulau Pinang di sini pula, lima buah kereta diarahkan berpatah balik kerana tiada surat kebenaran rentas daerah.
Keadaan sama berlaku di Johor Bahru apabila tinjauan di Jalan Tun Abdul Razak dan Jalan Wong Ah Fook di sini lengang.
Suasana kompleks beli-belah berdekatan seperti Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Johor Bahru City Centre (JBCC) dan Johor Bahru City Square (JBCS) di sini juga suram tanpa kehadiran pengunjung.
Di Ipoh, orang ramai yang mempunyai kebenaran keluar bekerja dilihat lebih berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka dua lapis selain tiada barisan panjang untuk membeli barang keperluan.
Tinjauan di Pasaraya TF dan tempat perniagaan tumpuan mendapati keadaan terkawal dan pihak pasar raya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memeriksa status pelanggan di aplikasi MySejahtera.
Melalui pelaksanaan PKP Penuh fasa pertama ini, kerajaan menganggarkan dapat mengurangkan pergerakan kira-kira 13.5 juta individu yang bekerja kepada 1.5 juta orang berbanding 15 juta orang sebelum ini.
sumber: Kosmo Online