Hampir dua tahun Covid-19 melanda kita, manakala segala percaturan dan langkah kerajaan untuk membendung wabak ini adalah mencukupi sekiranya varian baharu tidak wujud.
Beberapa varian baharu koronavirus terutamanya varian India, varian Afrika Selatan dan varian Kent merebak dengan begitu pantas dan mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi.
Sehingga kini, saintis-saintis masih belum pasti sama ada varian tersebut terutamanya varian India lebih berbahaya dan berisiko tinggi menyebabkan kematian.
Kehadiran varian ini yang ada antaranya digelar ‘varian berganda’ menyaksikan kadar jangkitan harian di negara ini juga berganda.
Contoh paling jelas keupayaan dan bahaya varian Covid-19 ini boleh dilihat di India. Kerajaan India melonggarkan sekatan koronavirus awal tahun ini selepas mencatatkan penurunan mendadak kes harian.
Pakar-pakar mengandaikan penurunan itu bukan disebabkan vaksinasi, tetapi imuniti kelompok di bandar-bandar besar kerana ramai warga kota dijangkiti seterusnya sembuh.
Kealpaan kerajaan India yang kemudian melonggarkan sekatan bagi membuka semula sektor ekonomi termasuk membenarkan perhimpunan bagi tujuan pilihan raya dan keagamaan akhirnya membawa padah.
Sikap leka menyebabkan jangkitan di negara itu kembali melonjak sehingga menjadi tidak terkawal.
Kita juga akan ke arah itu tanpa langkah drastik. Total lockdown mungkin dapat mengurangkan jangkitan yang melonjak di Malaysia ketika ini, namun jangkitan akan kembali melonjak selepas itu tidak ubah seperti yo-yo.
Cara paling berkesan mengekang penularan mendadak adalah dengan menggandakan vaksinasi. Kita tidak boleh tunggu sehingga Ogos atau hujung tahun ini untuk mendapatkan imuniti kelompok.
Segala perancangan vaksinasi sedia ada perlu diubah. Kita perlu mencapai imunisasi kelompok jauh lebih cepat.
Varian Covid-19 tidak berlawan secara adil. Ia akan terus mencari mangsa yang tidak divaksin. Penulis berharap berita kekurangan tong oksigen biarlah berakhir di India.
Bukti yang ada menunjukkan wabak Covid-19 hanya dapat dikawal selepas program vaksinasi melebihi 50 peratus di sesebuah negara. Antara negara yang dapat mengekang penularan pandemik adalah negara yang awal memulakan program vaksinasi massa seperti Amerika Syarikat, Israel, Britain dan Singapura.
Amerika Syarikat kini dalam proses mengatur semula sektor ekonominya, malah negara kuasa besar itu akan memulakan program vaksinasi kepada remaja bawah usia 18 tahun dan kanak-kanak tidak lama lagi.
Hal tersebut kerana varian baharu kini menyasarkan golongan yang tidak menerima pelalian koronavirus terutamanya remaja dan kanak-kanak. Kemunculan varian baharu menunjukkan kes
Covid-19 melibatkan golongan itu melonjak seperti roket yang dilancarkan.
Diharapkan kerajaan dapat mencari jalan seperti perumpamaan bahasa Inggeris by hook or by crook, program vaksinasi kebangsaan perlu segera dilaksanakan dan diharapkan juga, kita masih tidak terlambat untuk berbuat demikian.
sumber: Kosmo Online