Seramai 15 penduduk, jemaah masjid di Taman Mahsuri di sini meninggal dunia dalam tempoh dua minggu lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, maklumat berhubung perkara itu diterima daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
“Covid-19 dikesan mula menjangkiti penduduk sejak Mei lalu hingga tercetusnya kluster Dah Mahsuri yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 18 Mei lalu.
“Dalam tempoh dua minggu lalu, saya difahamkan sudah 15 orang yang meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini tular video di media sosial memaparkan wajah-wajah jemaah masjid terlibat yang didakwa meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.
Video berdurasi 32 saat itu meruntun perasaan banyak pihak yang bersimpati terhadap nasib mangsa.
Mengulas lanjut Mohd. Hayati berkata, keadaan jelas menunjukkan betapa Covid-19 amat berbahaya hingga mampu meragut banyak nyawa dalam masa singkat.
“Semoga pandemik ini cepat berlalu. Kita juga berharap agar orang ramai dapat terus mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi membentuk imuniti berkelompok,” katanya.
sumber: Kosmo Online