SHAH ALAM, 09 JUN 2021 - Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, SHAH ALAM. UTUSAN/AFIQ RAZALI

Pasir Mas: Sikap degil cemarkan imej agama Islam

Posted on

KISAH 37 jemaah di dua buah surau di Pasir Mas, Kelantan dikompaun ke­rana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika solat isyak secara berjemaah baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

Ada yang mempertahankan ‘perbuatan’ jemaah dan me­nganggap tidak salah kerana menunaikan solat.

Namun tidak kurang juga yang ‘menghentam’ kerana tidak patuh SOP yang ditetapkan pihak berkuasa yang mengehadkan bilangan jemaah solat di masjid dan surau pada satu-satu masa.

Menerusi laporan, ke­semua jemaah dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal. Perkara-perkara seperti ini yang membuatkan Islam menjadi ‘kotor’ dek kedegilan segelintir individu yang enggan mematuhi SOP.

SOP yang dibuat bukan untuk melarang orang Islam menunaikan solat di surau, namun dalam keadaan Covid-19 yang menular ketika ini, adalah lebih molek sekiranya aktiviti itu dikawal atau dihentikan sementara waktu.

Selain mengelak tercetusnya kluster baharu, kita perlu ‘menjaga’ nama Islam itu agar tidak dipandang serong.

Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, umat Islam hendaklah mencontohi tindak balas Rasulullah dalam menghadapi berbagai situasi dan keadaan.

Jelas beliau, Islam bukan sahaja agama yang indah dari segi teorinya, malah jauh lebih indah jika dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

Dari segi ilmiahnya, Allah menegaskan Islam agama yang diredai untuk seluruh manusia.

Ini seperti firman-Nya yang bermaksud: “Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan Aku cukupkan ke­padamu nikmat-Ku dan Aku redai Islam itu agama bagimu.” (Surah al- Maidah, ayat 3)

Allah SWT menekankan sekali lagi: “Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 19)

Keunggulan Islam bukan ha­nya diketengahkan secara teori, tetapi perlu dipamerkan secara amali oleh penganutnya.

Justeru, kita jangan jadi sebahagian daripada manusia yang degil serta sengaja ‘mengotori’ kesucian Islam yang pada dasarnya adalah agama yang suci.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dipetik berkata, Islam itu indah, tidak pernah memberatkan atau membebankan umatnya.

“Kita sekarang berdepan situa­si wabak berbahaya. Ramai yang sakit dan terlantar di hospital kerana dijangkiti Covid-19.

“Apabila wabak menular, semua orang wajib berperanan membendungnya mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh pihak berwajib,” katanya.

Menurut Yahya, umat Islam perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan, misalnya apabila menghadapi keuzuran, penganutnya diberikan keringanan untuk mendirikan solat dalam keadaan duduk jika tidak ber­upaya berdiri atau berbaring jika tidak lagi boleh duduk.

“Al-Quran dan hadis nabi menegaskan tanggungjawab semua menghindarkan penularan wabak yang memudaratkan se­perti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud ‘janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan’.

“Jika betul ada jangkitan yang berlaku ke atas orang lain akibat kelalaian dan kedegilan kita, bersediakah kita menjawabnya di Padang Mahsyar nanti?” katanya.

Jadi jangan menyusahkan orang lain dan marilah kita berdoa supaya wabak ini cepat pergi.

sumber: AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI & Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.