renjatan kilat

4 pelajar terkena renjatan kilat ketika PdPR

Posted on

Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terkena renjatan kilat sewaktu berada di dapur rumah mereka di Kampung Kuala Por di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Suhasniza Sahaimi, 39, sedang memasak, manakala tiga anaknya berusia tujuh, 10 dan 17, tahun pula sedang mengulang kaji pelajaran bersama sepupu mereka berumur 16 tahun.

Menurut Suhasniza, kejadian kilat menyambar mereka berlaku dalam sekelip mata menyebabkan dia tiba-tiba jatuh terduduk dan mengalami kekejangan badan sementara sudip besi yang sedang dipegangnya tercampak.

“Sewaktu kejadian, hujan gerimis di luar rumah dan tiada pula terdengar bunyi guruh. Begitupun, jiran-jiran kemudian memberitahu mereka ternampak cahaya kilat melintasi rumah kami pada ketika itu.

“Anak-anak dan sepupu mereka pula sedang buat kerja sekolah dengan beberapa telefon pintar berada di atas meja memandangkan mereka belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Por di sini hari ini.

Suhasniza berkata, biarpun mengalami kekejangan badan, dia tetap menggagahkan diri untuk bangun setelah mendengar anak-anaknya menangis kesakitan sebelum menghubungi ahli keluarga yang tinggal berhampiran untuk meminta pertolongan.

Tambah merisaukannya, anak bongsunya, Muhammad Zafran Rayqal Mohd. Zammil mengalami muntah-muntah akibat terkena renjatan kilat berkenaan.

“Kami berlima dihantar ahli keluarga yang tinggal bersebelahan ke Hospital Hulu Terengganu di sini tidak lama kemudian untuk mendapatkan rawatan.

“Saya dan anak saudara saya yang berusia 16 tahun telah dibenarkan keluar wad tidak lama kemudian, tetapi tiga anak saya telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan kini mereka dijaga suami saya, Mohd. Zammil Zakaria, 41,” katanya.

sumber: Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.