Gua Musang: 8 pengedar pil kuda dicekup ketika tunggu pelanggan

Posted on

Seramai lapan orang pengedar dadah dicekup polis ketika mereka sedang menunggu pelanggan untuk menyerahkan bekalan 1,107 biji pil kuda di sebuah bangsal ladang kelapa sawit di Felda Chiku 6 di sini Ahad lalu.

Dalam serbuan pada pukul 2 pagi itu, polis menahan lapan suspek berusia 25 hingga 34 tahun yang juga merupakan anak kepada peneroka di Felda berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, serbuan dijalankan selepas menerima maklumat daripada penduduk kampung selepas mereka tidak tahan dengan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kesemua suspek itu mula dikesan menjalankan kegiatan pengedaran pil kuda di Felda itu sejak sebulan lalu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing yang mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Choon Foo, dalam satu lagi kes berasingan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan di ladang kelapa sawit di Felda Aring 15 di sini kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta itu telah menemui sebanyak 600 biji pil khayal jenis epam, 183 botol cecair ubat batuk dan 100 kilogram daun ketum.

sumber: Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.