Pengekalan syarat lama bagi kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) semalam memberikan kelegaan kepada ibu bapa khususnya bagi anak mereka yang menuntut di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Selangor.
Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRAI berkata, pengumuman daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid itu menyuntik kembali semangat buat ibu bapa dan murid-murid khususnya yang telah lama menanam impian melanjutkan pelajaran ke MRSM.
Katanya, keputusan berwibawa Mahdzir untuk membuka kembali ruang buat semua pelajar tanpa mengira aliran termasuk mengekalkan kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera membuktikan Mahdzir cakna rakyat.
“Ini juga bersesuaian bersesuaian dengan semangat ‘keluarga Malaysia’ yang digagaskan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Kami wakil ibubapa, guru serta murid sekolah Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) menzahirkan penghargaan terhadap Mahdzir yang telah membuat keputusan yang tepal, adil dan bijaksana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jawatankuasa itu menegaskan pihaknya akan terus membantu murid-murid SRAI khususnya untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah
“Kami terhutang budi dengan Majlis Amanah Rakyat yang selama ini telah banyak melahirkan modal insan seterusnya menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional juga separa profesional dalam pelbagai bidang di dalam dan di luar negara,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan peletakan syarat baru kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tingkatan satu dan empat tahun depan yang terhad kepada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) disifatkan sebagai pra-matang dan terbelakang dalam mengurangkan peratusan pelajar berkualiti melanjutkan pelajaran di MRSM.
Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar semalam kemudiannya memutuskan cadangan perubahan kepada dasar pengambilan pelajar MRSM yang diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai.