kucing diracun

Kejamnya individu yang racun sembilan ekor kucing saya – Johan Aziz

Posted on

“Ada anak kucing, ibu yang baru beranak dan ada yang bunting, lima ekor anak dalam perut semuanya mati. Sangat kejam dan zalim perbuatan individu terbabit,” kata pengasas dan bekas pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz, mengenai kejadian sedih yang dialaminya Selasa lalu.

Johan yang kini menguruskan medan selera di Taman Kosas, di sini, berkata, dia terkejut apabila pekerjanya memaklumkan berita menyayat hati itu.

“Sebenarnya ini kucing-kucing yang dibuang di medan selera saya. Kami ambil bela sebab kalau tidak nanti kucing-kucing ini mati di jalan kena langgar. Saya buatkan kandang di belakang medan selera saya.

BACA: Benarkah kisah kucing boleh bantu tuannya di akhirat?

“Kucing ini diberi makan dan dijaga elok. Seminggu sekali akan dilepaskan bagi mereka ambil angin dan makan rumput. Lepas itu dipanggil masuk kandang dan mereka ikut arahan.

“Setiap Isnin medan selera cuti untuk pekerja bersihkan kedai. Hari Selasa mereka datang dapati empat ekor dah tergolek mati. Manakala empat ekor lagi sedang bertarung dengan maut mulut berbuih,” katanya

Johan yang kini berehat di rumah selepas rawatan kanser tulang berkata, dia menangis apabila menerima gambar dan video yang dihantar pekerjanya.

“Mulanya saya ingat hanya empat ekor mati, rupanya habis satu kandang. Siapa yang tak sedih kerana kucing-kucing ini jinak. Kadangkala orang datang makan, mereka minta nak pelihara saya bagi percuma sahaja.

Dapatkan Cat Food Tuna With Milk

“Ada juga kucing baru orang buang, saya ambil lagi pelihara. Kadang kucing sakit, patah kaki dan rabun orang buang kami ambil bagi ubat sampai sihat. Orang tengok pun berkenan nak pelihara.

“Nak kata pekerja saya atau pekerja-pekerja kat situ, saya tak tahulah pula hati mereka tahap itu. Saya dah berniaga lebih sembilan tahun di sini, tak pernah ada kes begini,” katanya.

Menurutnya, dia sedang menunggu anaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya terlihat kelibat individu yang melakukan kekejaman ini.

“Cuma saya takut CCTV ini tak menghala ke semua bahagian. Ada enam kamera dan di tempat kandang ada satu. Harap perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.