Tunjuk Baik Tak Bertempat: Longgok Buah Untuk Gajah di Jalan Gerik-Jeli Undang Bahaya

Posted on

Hari ini, tular tindakan sesetengah pengguna jalan raya yang kononnya mahu “berbuat baik” dengan melonggokkan buah-buahan di tepi laluan Timur-Barat, khususnya di sepanjang Jalan Gerik-Jeli. Kejadian terbaru dilaporkan berhampiran Ladang Rakyat dan Damai Resort, Batu Melintang, Jeli. Niatnya konon mulia – nak beri makan kepada gajah liar. Tapi, adakah ini sebenarnya satu bentuk ‘kebaikan’ atau tindakan yang bakal mengundang padah?

Kebaikan Tak Bertempat: Buah Untuk Gajah Tapi Bahaya Untuk Manusia

Menurut penduduk setempat, hampir setiap hari ada saja orang meletakkan buah-buahan seperti mangga, tembikai, dan pisang di tepi jalan. Ramai yang menyangka tindakan ini dapat “membantu” gajah liar yang sering melintasi jalan tersebut, namun realitinya, ini hanya membuka ruang kepada risiko yang lebih besar terhadap pengguna jalan raya.

Foto longgokan mangga, pisang bertarikh 24 Mei 2025 dipercayai untuk gajah

Bila gajah dapat hidu bau makanan, secara semulajadi mereka akan datang dan berkumpul di lokasi sama setiap hari. Lama-kelamaan, gajah akan ‘belajar’ bahawa kawasan itu adalah tempat makanan. Ini secara tidak langsung akan menjadikan mereka bergantung kepada manusia – satu tabiat yang amat berbahaya.

Lebih membimbangkan, bila makanan dah tiada, gajah mungkin akan ‘mengamuk’ kerana merasa kecewa atau terancam. Ini bukan hanya berisiko kepada pemandu, tapi juga kepada penduduk setempat yang berada berhampiran kawasan tersebut.

Sukarelawan Keselamatan Bersuara

Amir Faizal, seorang sukarelawan keselamatan yang aktif di kawasan berkenaan, lantang menyuarakan kebimbangan terhadap isu ini. Beliau menegaskan bahawa tindakan melonggokkan makanan untuk gajah di tepi jalan bukan saja tidak bijak, malah boleh mendatangkan kemudaratan besar.

Mohd Amir Faizal, sukarelawan pemantauan keselamatan

“Gajah tu nanti akan tunggu tepi jalan sebab ada makanan. Dan bila nanti tak ada makanan, mungkin mereka akan protes, mengamuk. Sebab kita dah ajar bagi dia makan. Masa tu, mulalah minta tolong jabatan, pihak berkuasa. Sedangkan kita yang memulakan masalah,” jelas beliau.

Amir turut memuat naik beberapa gambar buah-buahan yang diletakkan di bahu jalan ke media sosial, dan mendapat perhatian ramai. Rata-rata warga net menyokong teguran beliau dan menyifatkan tindakan meletakkan makanan sebagai “baik tak bertempat”.

Gajah & Jalan Raya: Kombinasi Bahaya Yang Tak Boleh Diabaikan

Untuk makluman, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) merupakan salah satu laluan yang sering digunakan oleh gajah liar untuk menyeberang dari satu kawasan hutan ke kawasan hutan lain. Kehadiran mereka di jalan tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah, beberapa kes kemalangan maut membabitkan kenderaan dan gajah pernah direkodkan sebelum ini.

Kita harus faham, gajah secara semula jadi tidak menyerang manusia, tetapi apabila mereka merasa terancam, lapar, atau terkejut – mereka boleh bertindak di luar kawalan. Bayangkan jika sekumpulan gajah ‘berkampung’ di tepi jalan kerana terbiasa diberi makan oleh manusia – ia bukan saja mengancam keselamatan pengguna, tapi juga boleh menyebabkan kemusnahan ekosistem haiwan liar itu sendiri.

Harapan Ramai: Hentikan Tindakan Tidak Bertanggungjawab Ini

Warga net, termasuk pengguna setia laluan JRTB, amat berharap agar tindakan ini dihentikan segera. Memberi makan gajah bukanlah penyelesaian, malah ia hanya akan memburukkan keadaan dalam jangka panjang. Jika benar mahu membantu, serahkan tugas itu kepada pihak berkuasa seperti PERHILITAN yang lebih arif dalam mengurus hidupan liar.

“Kita tak mahu gajah datang sebab makanan. Nanti dia akan berkampung di situ, kita juga yang jadi mangsa,” ujar salah seorang pengguna jalan di ruangan komen.

Serahkan Kepada Pihak Berkuasa

Mohd Amir Faizal dalam kenyataan terbarunya memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan berhubung insiden longgokan buah-buahan di tepi Jalan Gerik-Jeli. Laporan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), untuk tindakan lanjut bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelestarian habitat gajah liar terus terpelihara.

Kesimpulan: Jangan Undang Bahaya Dengan Niat ‘Tunjuk Baik’

Gajah adalah haiwan yang perlu dihormati dan diberikan ruang untuk hidup dalam habitat semulajadi mereka. Kita sebagai manusia harus tahu batas dalam berinteraksi dengan haiwan liar. Perbuatan konon ‘berbuat baik’ dengan memberi makan di tepi jalan hanya menambah risiko kemalangan dan konflik manusia-haiwan.

Sebarkan kesedaran ini. Jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab. Ingat, satu niat baik yang tidak kena tempat – boleh mengancam keselamatan orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.