Minggu lalu, Sharifah Sakinah ada memuat naik video menyindir sesetengah artis yang sanggup menipu dan memperdaya tentang keberkesanan produk kecantikan yang dijual untuk mengaut keuntungan semata-mata. Buat Sakinah, seorang peniaga haruslah jujur apatah lagi golongan selebriti ini mempunyai peminat yang ramai.
Tidak dinafikan ada beberapa rakan artis yang tersinggung dengan kenyataan Sakinah, tetapi buat Che Ta, beliau sedikit pun tidak terasa dengan sindiran tersebut. Malah, beliau yang turut menjual produk kecantikan serta pelangsingan badan menyokong pula setiap pendapat Sakinah.
Che Ta menjelaskan beliau tidak pernah menipu pelanggannya dan setiap produk keluarannya itu memang berkesan.
Saya ada tengok video yang dikongsikan Sakinah itu dan sokong apa yang dikatakannya. Saya tahu dia tujukan sindiran tersebut kepada golongan artis yang jual produk kurus sedangkan diri itu memang kurus, masih belum berkahwin dan tidak mempunyai anak.
Saya sendiri tidak pernah menipu pelanggan, malah mencuba produk keluaran saya dan ia memang berkesan. Bukan apa, selepas melahirkan anak ketiga, Aaisyah Dhia Rana, berat saya naik mendadak. Berat saya pernah mencecah 85 kilogram. Maka, dengan produk saya itu berat badan kembali menurun.
Jadilah pengguna yang bijak, jangan menjadikan populariti serta ayat-ayat manis seorang artis itu sebagai garis panduan yang menjanjikan keberkesanan sesuatu produk.