Diana Danielle Dedah Tak Serasi Berlakon Dengan Ummi Nazeera

Posted on

Memegang salah satu watak utama filem Gol & Gincu Vol.2, pelakon Datin Diana Danielle mengakui pada permulaan penggambaran dia mengalami sedikit kesukaran untuk berlakon dengan rakan gandingannya, Ummi Nazeera yang juga merupakan watak utama bagi filem arahan pengarah baharu, Umi Salwana Omar itu.

Menurut Diana, bergandingan buat kali pertama dengan Ummi bukan satu perkara yang mudah memandangkan mereka mempunyai personaliti dan perwatakan berbeza.

“Terus-terang saya katakan, awalnya memang sangat sukar nak dapatkan keserasian dengan Ummi. Ini kali pertama kami digandingkan bersama.

“Cara lakonan serta bahasa tubuh Ummi pada awalnya, agak susah untuk saya fahami. Bahkan untuk sambung-menyambung dialong pun susah. Mungkin sebab tidak begitu kenal dan belum pernah berlakon sama, menjadikan sukar mendapatkan keserasian.

“Namun, syukurlah dengan latihan lakonan selama lebih sebulan, setelah masuk set penggambaran masalah itu dapat diatasi dan kami mudah bekerja bersama selepas itu,” katanya.

Diana ditemui pada majlis pelancaran filem Gol & Gincu Vol.2 yang diadakan di Empire City Mall, Damansara Perdana baru-baru ini.

Sementara itu, bagi menjayakan watak Zak yang gilakan sukan futsal, Diana turut mempersiapkan dirinya dengan melakukan latihan kecergasan agar wataknya tidak kelihatan canggung di layar perak.

“Sebenarnya saya bukanlah peminat futsal dan tidak reti main pun. Saya lebih suka main sukan bola keranjang. Jadi, saya belajar sesuatu yang baru dalam filem ini.

“Selain itu, saya dan Ummi turut bersenam dan lakukan aktiviti kecergasan untuk watak kami sebelum penggambaran dimulakan. Yelah, waktu itu badan kami sedikit berisi dan kami usaha bersungguh-sungguh agar capai sasaran penurunan badan dalam masa dua minggu.

“Saya tiada masalah untuk kurangkan berat badan sebab badan saya jenis senang naik dan senang turun. Apa yang saya buat cuma perlu jaga kuantiti makanan yang diambil serta lakukan senaman kardio,” katanya lagi.

Gol & Gincu Vol. 2 mengisahkan Zakiah (Zak) dan Zakiah (Yaya) adalah dua pelajar universiti yang mempunyai nama yang sama namun personaliti mereka jauh berbeza.

Akibat tercetusnya pergaduhan di khalayak ramai yang menjadi tular di media sosial, kedua-dua gadis telah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak pengurusan universiti untuk melakukan kerja-kerja amal sebagai teladan kepada pelajar-pelajar lain.

Zak dan Yaya telah memilih untuk melakukan kerja amal di rumah remaja bermasalah yang dikendalikan oleh Jijie. Sangkaan mereka meleset setelah menyedari bahawa kerja amal bukanlah mudah.

Selain Diana dan Ummi, filem terbitan Red Films turut dibarisi pelakon popular seperti Syafiq Kyle, Aedy Ashraf, Sharifah Amani dan Sazzy Falak.

Gol & Gincu Vol. 2 akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 Oktober depan.

Kredit foto: Instagram Datin Diana Danielle
sumber : kopiplanet.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.