Jika kebanyakan selebriti lebih senang menjalankan pembedahan kosmetik gigi veneer bagi mendapatkan gigi tersusun serta putih bersih, namun hal ini berlainan buat aktres Fasha Sandha.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia lebih selesa melakukan rutin penjagaan gigi secara teratur setiap hari daripada melakukan pembedahan kosmetik yang kini menjadi trend dalam kalangan selebriti.
BACA : Peminat Kutuk Fasha Sandha, Dengan Komen Berbunyi “Fasha Pakai Baju Paras Dada Macam Mintak Kaki”
“Saya tidak akan buat veneer. Secara jujurnya saya pernah berborak dengan orang yang pernah buat veneer dan diakui tak selesa. Memang gigi jadi sangat putih, namun sebenarnya dalam gigi dia tidak sihat. Sebab apa yang kita makan akan tersumbat dalam sarung veneer itu.
“Disebabkan nak gigi cantik punya pasal, tetapi kalau benda itu buat kita tak selesa nak buat apa kan. Semua yang ada pada diri saya adalah asli. Contohnya, saya tak suka warnakan rambut dan pakai kanta lekap,” katanya kepada KopiPlanet ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai Ikon Ubat Gigi Aurawhite di Cheras, baru-baru ini.
Fasha, 34, turut mendedahkan sejak kecil lagi dia sudah bersikap cerewet dalam penjagaan gigi seperti mana yang diamalkan ibunya.
Jelasnya, ketika usianya baru sahaja mencecah lima tahun, Fasha telah memenangi tempat kedua pertandingan gigi cantik di Perlis.
“Saya ingat lagi masa umur lima tahun menang tempat kedua pertandingan gigi cantik. Ada lagi gambar itu dalam simpanan ibu saya. Macam sekarang saya masih lagi menjaga gigi seperti biasa dengan mengunjungi doktor gigi dalam tempoh dua bulan sekali. Kita digalakkan jumpa dua kali setahun tapi saya sebaliknya.
“Bercakap penjagaan gigi anak-anak pula, saya memang tunjuk mereka cara gosok gigi dengan betul dan saya akan pastikan mereka gosok gigi sebanyak tiga kali dalam sehari,” katanya lagi.