Cheryl Kembali Ke Kaca TV Selepas 10 Tahun ‘Menghilangkan Diri’

Posted on

Kali terakhir berlakon menjayakan siri Ghost pada 10 tahun lalu sebelum menyepikan diri daripada dunia lakonan, kali ini pelakon dan pengacara, Cheryl Samad kembali menghiasi kaca televisyen anda dengan drama terbaharunya.

Menerusi siri drama Viu Original, The Bridge, Cheryl diberi peranan sebagai isteri kepada watak Bront Palarae yang merupakan seorang detektif.

Menceritakan pengalamannya, ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini mengakui teruja untuk kembali berlakon setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke set penggambaran.

“Selepas agaka lama saya tidak berlakon, saya akui sedikit janggal untuk beraksi di hadapan kamera. Bayangkan 10 tahun saya tinggalkan semua ini. Tapi Alhamdulillah, saya hanya berasa sedemikian pada hari pertama penggambaran dan kemudian pada hari-hari yang lain saya dah kembali mendapat rentak,” katanya.

Menurut Cheryl, dia bukannya menghilangkan diri dalam dunia seni sebaliknya lebih senang mengambil tawaran kerja yang melibatkan pengacaraan sahaja kerana ia tidak memerlukan komitmen masa yang lama seperti bidang lakonan.

“Saya sebenarnya masih aktif sebagai pengacara di majlis-majlis tertutup. Kalau bidang lakonan itu memang saya tidak ambil keran tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk mengikut jadual saya yang perlu menjaga anak-anak.

“Sekarang anak-anak pun dah besar sikit, jadi bolehlah saya kembali berlakon. Suami pun beri lampu hijau untuk saya berlakon balik, dia tidak menghalang,” katanya.

Cheryl, 38, ditemui pada majlis pelancaran tiga drama Viu Original iaitu Salon, Jibril dan The Bridge di Sunway Damansara, baru-baru ini.

Selain Cheryl, The Bridge turut dibintangi Bront Palarae, Gavin Yap dan aktres Singapura, Rebecca Lim. Ia diarahkan oleh dua pengarah iaitu Jason Chong dan Lee Thean Jeen.

Drama berciri penyiasatan ini akan mula ditayangkan di ntv7 bermula 26 November ini. Ia juga akan ditayangkan menerusi laman digital Viu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.