Setelah kali terakhir mengadakan showcase di Singapura pada tahun 1996, kumpulan Sweetchild akhirnya berpeluang untuk kembali mengadakan persembahan di negara tersebut.
Vokalisnya, Acong berkata mereka memilih untuk beraksi di Kota Singa sebagai hadiah untuk peminat-peminat yang banyak menyokong kerjaya seni mereka.
“Sebelum ini, semasa kami mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe Melaka, agak mengejutkan kerana 60 peratus pengunjung yang datang menonton aksi kami adalah warga Singapura.
“Malah, showcase ini juga sebagai tanda terima kasih buat peminat di Singapura yang menyokong penyertaan saya semasa Gegar Vaganza 2 dahulu,” jelasnya.
Acong ditemui semasa majlis sidang akhbar Showcase Sweetchild yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Acong, showcase berkenaan akan berlangsung pada 20 Oktober ini di FG Empire Delight Gallery at 50 Punggol East bermula pukul 8.00 malam.
Ujarnya, tiket-tiket untuk menyaksikan showcase berkenaan hanya berharga $20 dan ia hampir habis terjual.
“Untuk persembahan nanti, kami akan menyampaikan sebanyak 15 buah lagu, manakala kumpulan rock Singapura iaitu Nalo akan beraksi untuk aksi pembukaan.
“Mengenai harga tiket yang agak rendah pula, kami tidak kisah kerana apa yang lebih penting adalah sambutan daripada peminat yang datang untuk menonton persembahan kami nanti,” ujarnya.