Rancangan Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) akan kembali tidak lama lagi dengan menampilkan sebanyak 14 peserta yang akan bersaing untuk memenangi hadiah wang tunai RM500,000.
Menurut Ketua Kandungan Strategik, Namanzee Harris, tema ‘Circus’ atau sarkas untuk kali ini dengan melihat karakter yang penuh warna-warni, amat unik dan tersendiri, namun pada masa yang sama memiliki satu misi seragam iaitu menghiburkan penonton.
“Untuk penganjuran musim ke-7, kami sekali lagi berjaya menghimpunkan bakat-bakat komedi terhebat dari Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ada yang boleh dianggap senior dalam kalangan pelawak dan ada juga muka baharu yang terlibat dalam edisi kali ini.
“Namun begitu, kesemua mereka mempunyai pengalaman beraksi di pentas besar sebelum ini dan setiap daripada mereka mempunyai identiti tersendiri dalam persembahan lawak yang dipentaskan,” ujarnya.
Antara barisan peserta yang bersaing kali ini adalah seperti daripada peserta solo iaitu Dany Beler dan Hilmy Ashley, serta peserta duo iaitu kumpulan Taman, Shiro, Puteh dan 2B. Manakala peserta trio pula membabitkan kumpulan Bocey, Abata, Joras, Kiut, Masin, Abioso, Zero dan Chilok.
Selain juara yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000, naib juara akan memenangi RM250,000, tempat ketiga RM150,000, tempat keempat RM 50,000 dan tempat kelima RM 15,000.
MLM 2018 bakal membuka tirai pada setiap hari Jumaat bermula 2 November 2018, jam 10.00 malam selama 12 minggu berturut-turut.
Rancangan tersebut akan dipancarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan untuk pilihan alternatif, MLM 2018 turut boleh ditonton menerusi platform digital Astro GO dan ‘on demand’.