Baru saja pulang dari mengerjakan ibadah Umrah, Uqasha Senrose meluahkan rasa syukur perjalanannya ke sana berjalan dengan lancar dan segala urusan dipermudahkan. Sempat berkongsikan cerita, Uqasha memberitahu sepanjang berada di bumi Mekah dia sering menangis terkenangkan dosa-dosa lampau.
“Sebelum ini saya pernah terduduk dan hilang arah kerana kesilapan lalu serta runsing tanpa sebab. Ia soal hubungan keluarga, kerjaya dan kehidupan seharian. Ada ketikanya tidak tahu apa punca yang membuatkan hati tidak tenang.
“Perasaan berkecamuk itu hilang sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Bagaikan satu keajaiban berlaku, semuanya berubah. Satu kegembiraan yang tak boleh diluahkan dengan kata-kata kerana ia terlalu indah,” katanya kepada Utusan Online.
Tidak mahu lagi dirinya terpalit dengan kontroversi panas seperti sebelum ini, Uqasha memberitahu dia mahu membuka buku baru dan menjalani hidup lebih tenang. Dalam pada itu, Uqasha turut meminta maaf diatas kesilapannya terdahulu.
“Cukup-cukuplah kontroversi dan kisah panas yang boleh menenggelamkan kerjaya seni. Saya mahu menguatkan hati untuk mengatakan tidak kepada perkara-perkara yang mungkin boleh merosakkan diri.
“Apa yang sudah berlaku bukanlah sesuatu yang patut disesali kerana ia banyak pengajaran. Kata orang, sebaik-baik ilmu itu adalah pengalaman. Saya minta maaf kerana pernah menjadi contoh tidak baik kepada masyarakat. Ketika itu saya belum matang dan mudah bertindak tanpa memikirkan dahulu apa akibatnya,” katanya.
sumber : utusan online