Sudah DUA KALI Sultan Kelantan Tak Sempat Tamatkan Tempoh Pemerintahan Sebagai Agong, Lihat 6 Lagi Trivia Ini

Posted on

Secara rasminya pada 6 Januari 2019, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Berita mengejutkan itu telah disampaikan sekitar jam 7 malam tadi setelah perkara ini dimaklumkan secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raya-raja.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja iaitu Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, “Baginda Tuanku meletak jawatan berkuatkuasa 6 Januari 2019 (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Hhm, apa sebenarnya intipati perlembagaan tu? Jom tengok 6 trivia berkaitan dengan berita ini.

01

Perkara 32 (2) di dalam bab Ketua Utama Negara menyebut, Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja.

Ini adalah kebebasan yang ada pada Baginda.

02

 

Sultan Muhammad V menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia pertama meletakkan jawatan dalam sejarah 15 orang Ketua Umum Negara.

03

Bagaimanapun, Baginda bukanlah Sultan Kelantan pertama yang pernah dilantik selaku Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini pada 19 Jun 1975, Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ibrahim telah dipilih oleh Majlis Raja-raja sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Namun, Baginda mangkat akibat serangan jantung pada 29 Mac 1979 di Istana Negara Kuala Lumpur selepas santapan tengahri dan ketika sedang berehat bersama keluarga.

Ini bermakna, kedua-dua tokoh legasi diraja Kelantan yang pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak sempat untuk menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Umum Negara.

04

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah Binti Abdul Rahman.
Beberapa Yang di-Pertuan Agong juga pernah berdepan dengan situasi tidak menamatkan tempoh pemerintahan namun kesemuanya kerana kemangkatan.

Selain Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ibrahim dari Kelantan, senarai tersebut termasuklah Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni al-Marhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor, pada 1 September 1960) dan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah (Sultan Selangor, pada 21 November 2001)

05

Berbalik kepada Sultan Muhammad V, Baginda juga mencipta sejarah pada tahun 2018 apabila menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama yang memerintah di bawah 2 pucuk kepimpinan kerajaan berbeza. Ini kerana selepas tempoh 60 tahun, kerajaan Barisan Nasional telah digantikan dengan kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad.

06

Menurut laporan Sinar Harian, pengantin perempuan di dalam foto ini ialah bekas ratu cantik Moscow yang dikenali sebagai Oksana Voevodina.
Baginda juga akan diingati sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah tanpa kehadiran Raja Permaisuri Agong di sisi. Walaupun pada akhir November lalu, kecoh seketika apabila foto perkahwinan Baginda dengan wanita Rusia, Oksana Voevodina muncul, namun tiada kenyataan rasmi daripada pihak Istana Negara mahupun acara pertabalan rasmi dilakukan.

***

Apapun, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Baginda atas jasa dalam mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan rakat Malaysia agar terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.

Sumber: Remaja.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.