KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mempunyai masalah, namun ia bukan penyebab kepada ekonomi negara menjadi teruk.
“Ya, betul. 1MDB memang ada masalah.
“Oleh itu, kerajaan BN (Barisan Nasional) menjalankan rasionalisasi ke atas 1MDB dan menandatangani perjanjian penyelesaian dengan IPIC (International Petroleum Investment Company) untuk mendapat semula wang yang dikatakan hilang,” katanya menerusi Facebook beliau, hari ini.
Najib menangkis dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan BN dahulu menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara.
Najib berkata, hutang 1MDB kini ialah sekitar RM30 bilion dan semua wang daripada 1MDB ialah daripada sumber pinjaman, bukan dari rizab kerajaan ataupun Petronas dan Khazanah.
“Hutang 1MDB hanya perlu dibayar dengan sepenuhnya pada tahun 2039. Aset 1MDB juga besar nilainya.
“Satu perjanjian penyelesaian sudah ditandatangani dengan kerajaan Abu Dhabi untuk mendapatkan semula semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB sebelum 31 Disember 2020,” katanya.
Beliau berkata, hutang RM30 bilion itu jauh lebih rendah daripada RM82 bilion ‘dijarah’ dari Petronas dan hasil RM40 bilion hilang akibat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta ketika tempoh tiga bulan GST sifar tahun lalu.
“RM30 bilion adalah 4.3 peratus dari jumlah hutang rasmi kerajaan sebanyak RM686 bilion dan 2.22 peratus dari jumlah KDNK Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.35 trilion pada 2017,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai skandal forex dengan RM33 bilion dari rizab negara hilang begitu sahaja pada 1993 kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Hutang 1MDB masih belum perlu dibayar, nilai asetnya masih tinggi dan ada usaha untuk mendapat kembali wang yang dikatakan hilang akan menjahanamkan ekonomi negara?
“Tetapi skandal forex di mana wang yang rugi tidak dapat dicari ataupun dituntut kembali, tidak ada aset ditinggalkan dan ia adalah peratusan yang amat besar daripada KDNK negara tidak menjahanamkan ekonomi negara pula?
“Kerajaan PH perlu mengaku sahaja bahawa ekonomi menjadi teruk di bawah dasar dan kawalan mereka – bukan sebab 1MDB,” katanya.
Sumber: bharian