Kakak, jangan menangis lagi. Ibu bapa kita sudah tidak sayangkan kita. Adik akan menjaga kakak. Kakak akan baik-baik sahaja. Jika kakak kuatkan semangat, adik akan belikan gula-gula”.
Itulah kata-kata semangat yang diberikan oleh si adik, Zhao Wenjing kepada kakaknya, Zhao Wenhui setelah kedua-dua mereka ditinggalkan oleh ibu bapa.
Wenhui, 11 tahun dikatakan sedang bermain bersama adik lelakinya itu dan secara tiba-tiba terjatuh dari katil dan kepalanya terhentak kuat di atas lantai. Hentakan itu menyebabkan berlakunya gegaran kuat pada otak dan menyebabkan Wenhui tidak berupaya untuk bergerak selain mengerang kesakitan…
Wenhui kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut mengenai kecederaan di kepalanya itu. Kemalangan itu dilaporkan agak teruk dan membuatkan Wenhui terpaksa ditahan di hospital.
Melihatkan keadaan kakak yang sedang menderita, Wenjing tidak pernah berjauhan dari sisi kakaknya. Sebaliknya, dia sentiasa mengesat air mata kakaknya itu dan berbisik, “Ibu dan ayah tidak sayangkan kita lagi. Adik akan jaga kakak. Kakak akan baik-baik sahaja. Jika kakak kuatkan semangat, adik akan belikan gula-gula untuk kakak”.
Setelah itu, Wenjing memberikan ciuman di pipi kakaknya yang sangat disayangi itu…
Meskipun masih kecil, Wenjing telah memikul tanggungjawab yang besar untuk menjaga kakaknya yang sakit seorang diri. Dialah yang membantu kakaknya duduk di atas kerusi roda dan dia jugalah yang menolak kakaknya ke wad.
Sememangnya satu kisah yang sukar untuk kita hadam. Bagaimana seorang kanak-kanak yang masih mentah mempunyai keazaman dan sanggup memikul peranan besar demi ikatan perhubungan antara adik-beradik.
Difahamkan kedua-dua beradik ini telah lama hidup berdikari tanpa kehadiran ibu bapa tercinta. Bapa mereka dipercayai bekerja di bahagian selatan China dan telah bertahun-tahun tidak pulang ke rumah. Mereka langsung tidak tahu bagaimana cara untuk menghubungi bapa kandung mereka.
Apa yang lebih memilukan hati adalah apabila ibu mereka turut mengambil keputusan untuk keluar meninggalkan rumah dan anak-anak yang masih kecil. Sejak dari pemergian ibu, mereka tidak lagi mendengar sebarang khabar berita.
Wenhui dan Wenjing kini tinggal bersama saudara mereka dan menampung perbelanjaan harian melalui elaun bulanan yang tidak seberapa. Namun, kehidupan dua beradik ini sungguh menyedihkan…
Sedangkan kanak-kanak lain hidup bahagia dan selesa bersama keluarga masing-masing, Wenhui dan Wenjing terpaksa bergantung di antara satu sama lain untuk meneruskan kehidupan. Mereka tidak memiliki pakaian baharu mahupun mainan walaupun mereka sangat ingin merasai keistimewaan itu
Namun, berbeza dengan adik-beradik lain yang suka bergaduh, Wenhui dan Wenjing sangat menyayangi antara satu sama lain dan tidak pernah bermasam muka. Malah, Wenjing yang baru berusia tujuh tahun sangat matang dan memahami serta akan menenangkan kakaknya setiap kali Wenhui menangis meminta ibu bapa mereka berada di sisi.
Apabila ada kanak-kanak lain membuli kakaknya, Wenjing juga dengan beraninya akan berhadapan dengan dengan pembuli-pembuli itu demi melindungi kakak tersayang.
Bagi Wenhui, Wenjing bukan setakat adik lelakinya tetapi juga seorang wira penyelamat. Setiap kali waktu makan, dia akan memberikan suapan pertama kepada adiknya dahulu. Kesukaran hidup ternyata membuatkan kedua-dua mangsa keadaan ini menjadi lebih matang dan menyayangi antara satu sama lain…
Keadaan menjadi semakin buruk apabila doktor mengesahkan buah pinggang kanan Wenhui mengalami kecederaan dan dia perlu menjalani prosedur pembedahan dengan segera. Namun, mereka tidak mampu untuk menanggung segala kos pembiayaan rawatan tersebut.
Mujurlah berkat kuasa media sosial, ramai netizen telah menghulurkan sumbangan khas buat pasangan adik-beradik ini bagi membolehkan Wenhui menjalani pembedahan dengan selamat. Kisah menyentuh hati ini membuatkan netizen tampil menghulurkan bantuan di saat ibu bapa mereka mengabaikan tanggungjawab sendiri.
Meskipun diabaikan, Wenhui dan Wenjing tetap berjaya menangani segala rintangan hidup dengan ikatan perhubungan mereka. Semoga mereka akan terus bahagia dan saling menjaga antara satu sama lain!
Kredit Era Baru