Keg*galan dalam perkahwinan pertama pada Mei lalu bukan penamat kembara hidupnya.
Sebaliknya, pelakon cantik Bella Dally reda dan menganggap itu takdir yang sudah tertulis buat dirinya.
Meski awalnya Bella ingin fokus kepada kehidupan solo dan kerjaya, kehendak Allah mengatasi segala-galanya.
Pertemuan dengan jejaka dikenali sebagai Arif, 34, yang juga ahli perniagaan sejak lima bulan lalu membuka satu lagi lembaran baharu dalam hidup Bella.
Jika sudah namanya jodoh, Bella, 28, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 12 Januari lalu.
Berkongsi secara eksklusif dengan Harian Metro, kini pasangan sama cantik sama padan itu rancak melakukan persiapan bagi meraikan hari bahagia mereka yang dijangka bakal berlangsung pada Mac depan.
Menurut Bella, majlis nikah dan sanding kedua-dua pihak akan diadakan pada hari sama di Kuala Lumpur.
“Insya-Allah, majlis nikah akan diadakan pada Mac. Kalau boleh sebelum Aidilfitri. Cuma, tarikh belum ditetapkan sebab masih menunggu kekosongan lokasi. Kalau sudah ada, baru boleh teruskan kerja lain.
“Ikut perancangan asal majlis nikah di Kota Kinabalu tetapi selepas berbincang kami sepakat buat di sini. Keluarga saya pun okay nak datang sini. Dalam masa sama, keluarga Arif senang dibawa berbincang dan sangat memahami.
“Setakat ini, persiapan belum sampai 50 peratus. Buat sedikit demi sedikit dulu. Alhamdulillah, ada juga pihak yang sudi menaja tetapi saya akan pilih yang bersesuaian. Tema majlis dan pemilihan warna kena berbeza daripada perkahwinan terdahulu,” katanya.
Bella berkata, biarpun majlis yang bakal berlangsung adalah perkahwinan keduanya, dia tetap berasa teruja kerana pengalaman lepas mengajar banyak perkara.
“Saya tetap teruja dan tidak gementar seperti dulu. Malah, untuk majlis kali ini saya sudah tahu nak buat apa. Paling penting, saya ingin mulakan hidup baharu.
“Bakal suami juga sangat teruja kerana ini yang pertama untuknya. Ramai rakannya ingin terbabit dalam majlis kami.
“Kalau ikutkan, sebelum ini pun bakal suami sudah lama nak kahwin tetapi belum ada jodoh. Jadi, apabila kami dipertemukan, saya mahu tahu apa hala tuju hubungan kami. Dalam masa sama, dia pula sudah lama bersedia nak kahwin,” katanya.
Sama seperti pasangan lain, Bella berharap perkahwinan itu kekal hingga ke jannah.
“Sebenarnya, perkara paling penting dalam hubungan ini adalah saling memahami dan bertolak ansur. Kalau boleh, selepas berkahwin saya tak nak terlalu mendedahkan suami dengan dunia glamor.
“Sewaktu berita pertunangan kami keluar dan gambarnya dipaparkan, dia terkejut. Ini kerana dia tidak biasa dengan perkara sebegini. Jadi, saya perlu hormat prinsip dan pendirian dia,” katanya.
Ramai bersuara Bella terlalu cepat mendapat pengganti selepas lapan bulan bercer*i dengan pelakon Nazim Othman.
Ditanya mengenai perkara itu, Bella mengakui ramai dalam kalangan rakan memintanya berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan untuk berkahwin sekali lagi.
“Diakui ramai juga cakap adakah betul keputusan saya ini. Tidak kurang juga menasihati supaya fikir dulu sebab kami baru saja berkenalan.
“Pada awalnya memang pening dengar cakap orang. Namun, ada seorang rakan yang melalui pengalaman sama berkata saya kena buat apa yang dirasakan bagus dan menggembirakan diri. Katanya juga, jangan dengar cakap orang.
“Bagi saya, tidak ada manusia yang sempurna. Jika ini dirasakan tepat, saya harus jalani. Saya percaya nasib dan rezeki setiap orang itu berbeza-beza,” katanya.
Sumber : Metro