“Lain Orang Lain Rezekinya” – Elfira Loy Kongsi Gambar Dan Luah ‘Sesuatu’ di Instastory

Posted on

Selepas dipalit kontroversi perkongsian mesejnya dari Makkah buat Sufian Suhaimi Ahad lalu, pelakon Elfira Loy bercerita pula pengalaman berpeluang menunaikan solat dan berdoa di Raudhah atau taman-taman Syurga di Masjid Nabawi, Madinah.

Elfira, 25, berkata dia bersyukur dapat melepasi pintu yang sepatutnya untuk orang Arab disebabkan kebetulan memakai serba hitam ketika itu.

Menurutnya, dia sempat menunaikan solat sunat sementara menunggu di ruang karpet merah sebelum penghadang putih untuk ke Raudhah dibuka.

” Lain orang lain rezekinya. Kebetulan El pakai serba hitam, jadi El pun cuba saja masuk pintu 29, pintu untuk orang Arab, Alhamdulillah lepas.

” Lepas dah masuk akan ada satu ruang (masih karpet merah) sebelum dia buka penghadang putih untuk kita ke Raudhah. Jadi boleh solat sunat tahiyatul masjid dulu dan tunggu.

” Lepas tunggu tak sampai lima minit penghadang dibuka dan ketika itu semua akan berlari anak. Tapi tak payah pun sebab akan ada lagi fasa kedua ruang menunggu,” katanya.

Elfira bersyukur dapat peluang menunaikan solat di Raudhah.

Elfira yang ketika ini masih berada di Madinah bagi menunaikan ibadah umrah bersama suaminya, Faris Khairol Anuar, berkongsi perkara itu menerusi laman Instastorynya.

Raudhah atau dikenali sebagai taman-taman syurga merupakan salah satu ruangan dalam Masjid Nabawi yang dijadikan pusat tumpuan jutaan jemaah yang datang berdoa dan bersolat berdekatan dengan makam Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, Elfira memberitahu apabila sudah berada di karpet hijau iaitu kawasan Raudhah, dia terus sahaja menadah tangan dan berdoa dengan keadaan bertenang.

Kata Elfira, dia terus rapat ke kiri hujung berdekatan dengan Makam Rasulullah SAW dan solat di saf hadapan disebabkan di sebelah kanan ramai jemaah akan bertolak-tolak.

Tambahnya lagi, dia berterusan solat sunat, hajat, taubat dan sujud syukur tanpa berhenti selama 30 minit sebelum ada orang memintanya untuk bangun.

” Lepas dibuka terus dapat masuk ke Raudhah. Sampai saja di Raudah jangan gementar himpit-himpit orang. Tenang dapat saja berdiri dekat karpet hijau tadah saja tangan berdoa sambil-sambil tu.

” Rapat terus ke kiri hujung dan terus solat ke saf depan sebab belah kanan ramai yang akan bertolak-tolak dan terpijak sebab tak perasan atau sebab teruja dapat masuk mereka terus solat tengah-tengah.

” Yang belah kiri tulah dekat dengan Makam Rasulullah SAW. Kalau dah dapat solat depan, teruskan solat saja tanpa berhenti, kalau berhenti orang akan suruh bangun terus. Solatlah solat hajat, taubat, sunat dan sujud syukur,” ujarnya.

Elfira turut memuat naik foto dia bergambar di sebelah tiang dalam keadaan wajahnya sedih dan syukur keraana dapat berdoa lagi tanpa ada gangguan.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber : mstar via @newscoviral

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.