MELAKA – Sekeping gambar memaparkan tiga mangkuk cendol Raja Cendol Taming Sari di Bandar Hilir di sini berharga RM114 yang tular di laman sosial adalah disebabkan isi durian jenis Musang King digunakan di dalam menu tersebut.
Pemilik kedai berkenaan, Muhammad Ariff Qayyum Mohd. Zamri, 25, berkata, harga itu adalah munasabah bagi mereka yang arif tentang jenis durian termasuk kualiti isi Musang King.
Jelasnya, menu cendol Musing King itu dijual mengikut berat isi durian antara 120 gram sehingga 150 gram setiap hidangan.
“Malah, sejak memulakan perniagaan pada 2017, pihak kami memaparkan senarai harga bagi setiap menu cendol yang dijual antaranya Cendol Musang King (RM38), Durian Udang Merah (RM20), Durian D24 (RM20), Durian Kahwin (RM17) dan cendol biasa RM7.
“Bagi penggemar durian, mereka sudah pasti mengetahui harga yang ditetapkan itu adalah munasabah, cuma saya bimbang kritikan ini dilemparkan oleh penggemar cendol yang tidak arif dengan harga durian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Jaiya Abu berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan harga di premis cendol tersebut dan berpuas hati dengan syarat jualan yang dilaksanakan.
“Pada petang tadi sepasukan anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan harga di premis berkenaan dan mendapati pemilik tidak melanggar apa-apa syarat perniagaan termasuk tanda harga serta produk jualan,” katanya.
Hari ini sekeping gambar tular dalam media sosial memaparkan tiga mangkuk cendol durian Musang King beserta sekeping resit tertera harga RM114.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tujuan sebenar pembeli berkenaan sama ada untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap harga cendol Musang King yang dibelinya atau sekadar ingin berkongsi pengalaman menikmati cendol durian premium itu. – K! ONLINE