Pernah mencetuskan kontroversi apabila membuat keputusan untuk membuka tudung selepas dua tahun berhijab, Uqasha Senrose merasakan dia tidak layak untuk menasihati Emma Maembong berhubung perkara itu.
Menurutnya lagi, dia tidak mahu dikaitkan dengan isu Emma dan hanya mampu mendoakan agar pelakon berdarah kacukan itu dikuatkan hati untuk berdepan kecaman netizen.
“Saya tidak layak menasihati Emma (Maembong) atau sesiapa sahaja kerana saya juga pernah berbuat silap. Seboleh mungkin, saya tidak mahu dikaitkan dengan isu Emma buka tudung kerana saya juga pernah melakukan kesilapan.
“Apa juga pilihannya, hanya Emma yang tahu dan itu urusan dia dengan Tuhan. Saya tahu dia kuat. Apa juga yang orang cakap, Emma kena kuat dan cekalkan hati.
“Sentiasa bermuhasabah diri kerana kami juga pernah membuat perkara yang baik. Siapa tahu selepas ini, pintu hatinya kembali terbuka untuk bertudung,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Uqasha tidak mahu kisah silamnya itu diungkit kembali memandangkan ianya sudah lama berlalu dan tidak perlu samakan dirinya dengan orang lain.
“Mengarut untuk mengaitkan saya dengan situasi yang dilalui Emma kerana perkara itu (buka tudung) sudah lama berlalu.
“Setiap orang ada melakukan kesilapan dan itu antara saya dengan Tuhan. Begitu juga dengan Emma. Setiap kita melakukan silap, cuma dosa kita berbeza.
“Jangan samakan saya dengan orang lain. Saya ada bahagian saya, orang lain juga ada bahagiannya. Sentiasalah ingat, dosa setiap manusia tidak sama,” katanya.
SUMBER : BH ONLINE