ARAU – Air mata para petani sudah lama mengalir kerana kesukaran terpaksa dihadapi mereka selepas pelbagai kemudahan dan insentif yang dinikmati sebelum ini telah dipotong.
Sehubungan itu, mereka berharap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengesat air mata dan segera bertindak membela nasib golongan tersebut.
Seorang pesawah dari Kampung Sungai Baru, Razali Saad, 53, berkata surat daripada seorang pesawah Ibas Hamud, 77, yang diberikan kepada Salahuddin dalam satu majlis semalam ada kebenaran yang menggambarkan penderitaan para petani.
“Benar, kami sudah lama menangis. Kami memang terhimpit sekarang, kos sara hidup tinggi, hasil padi berkurangan dengan pendapatan pula tidak seberapa. Kos pengendalian bendang juga kini semakin tinggi.
“Kami para petani berharap kerajaan kekalkan pemberian subsidi dan pelbagai insentif lain yang sekurang-kurangnya boleh membantu meringankan beban petani.
“Menteri tidak perlulah menangis atau sedih tetapi ambil tindakan segera selesaikan masalah petani ini. Menteri berada di dalam kerajaan ketika ini, jadi bantulah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagi pesawah Zamzuri Ishak,34, pula berkata, kos input pertanian seperti racun dan baja semakin mahal dan perkara itu perlu diberikan perhatian serius.
Dia juga berharap kerajaan meneruskan bantuan RM600 kepada para petani untuk membantu menampung perbelanjaan mereka ketika bukan musim menanam padi.