KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan kebakaran feri yang membawa 52 penumpang di perairan Langkawi, Kedah pada Isnin lepas bermula dari bilik enjin.
Ketua Pengarah Bomba Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata perkara itu disahkan oleh pegawai forensik bomba dari Kedah dan Putrajaya yang melakukan pemeriksaan awal terhadap feri itu.
“Sekarang pegawai forensik sedang menjalankan siasatan di kawasan enjin dan hasil siasatan dijangka siap dalam masa terdekat untuk diserah kepada Jabatan Laut Malaysia.”
“Kami (bomba) memandang serius perkara ini. Sekiranya feri itu mempunyai masalah kenapa ia dibenar ambil penumpang?… bagaimanapun perkara ini di bawah bidang kuasa agensi lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2018 di Kompleks Kuarters JPBM Cheras di sini, hari ini.
UNSUR SABOTAJ DAN KHIAN4T?
Ditanya kemungkinan sabotaj, Mohamad Hamdan berkata:
“Dakwaan ada sabotaj dan sebagainya (dalam kebakaran itu), itu bomba masih tidak ada pembuktian yang jelas namun kami tidak nafikan kemungkinannya,”
Isnin lepas, feri penumpang Dragon Star 1 yang membawa 52 penumpang bersama seorang kapten dan lima anak kapal terbakar pukul 2.45 petang iaitu kira-kira 10 minit selepas berlepas dari Terminal Penumpang Kuah ke Jeti Kuala Perlis.
Kesemua penumpang diselamatkan oleh bot dan feri lain yang berada berdekatan feri itu.
Terdahulu, Mohammad Hamdan menyampaikan pingat dan anugerah kepada 98 pegawai bomba yang memberikan khidmat serta mempamerkan mutu kerja yang cemerlang. – Bernama
(VIDEO) BOMBA SAHKAN KEBAKARAN BERMULA DARIPADA BILIK ENJIN