ACHIK, Aleya dah mati…itu kata anak lelaki suami isteri terbabit berusia empat tahun ketika saya ke rumah mereka menyebabkan hati ini kuat mengatakan anak saya sudah tiada (meninggal dunia),” kata Rosmaliah Samo, 32, ketika ke rumah keluarga itu pada 22 Februari lalu.
Bagaimanapun dia yang berasa tidak sedap hati kemudian sekali lagi ke rumah pasangan terbabit di Kuarters Hospital Langkawi keesokan harinya namun kanak-kanak terbabit memberitahu bapanya sudah menyerahkan Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, kepada orang lain.
Katanya, ketika itu dia mengesyaki sesuatu tidak kena dan antara percaya atau tidak anaknya sudah meninggal dunia kerana mustahil seorang budak bercakap bohong.
“Lelaki itu ada datang ke hostel berhampiran tempat kerja saya dan berjumpa seperti biasa, namun berdolak dalih memberitahu anak saya dalam keadaan sihat di bawah jagaannya dan dia akan bawa bertemu dengan saya tidak lama lagi.
“Kami menjalinkan hubungan sulit selama empat bulan dan lelaki itu membawa saya pulang ke rumahnya di kuarters dan memperkenalkan saya sebagai rakannya kepada isteri yang juga jururawat di hospital berkenaan,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran di Pantai Cenang, Langkawi, hari ini.
Rosmaliah berkata, sepanjang tinggal di kuarters itu, hubungannya dengan isteri lelaki berusia 40 tahun itu sangat baik.
Bagaimanapun, menurutnya, wanita itu berjaya menghidu hubungan sulit mereka apabila tersilap berbalas WhatsApp dengan isterinya melalui telefon bimbit lelaki berkenaan.
Katanya, dia kemudian keluar dari rumah berkenaan sejak 27 Januari lalu untuk bekerja di kedai makan dan sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah bertemu dengan Nur Aisyah Aleya.
“Disebabkan rindu untuk bertemu dengan anak, saya pergi ke rumah mereka pada 22 dan 23 Februari lalu tetapi kecewa apabila dimaklumkan anak saya tiada dalam jagaan mereka.
“Berikutan itu, saya ke Pulau Pinang dan pulang semula ke sini pada 28 Februari lalu sebelum suami isteri itu datang bertemu saya dan memujuk tinggal bersama mereka, tetapi saya enggan kerana mereka tidak mahu memberitahu di mana anak saya berada,” katanya.
Rosmaliah berkata, sepanjang tinggal bersama lelaki itu di kuarters berkenaan, anaknya pernah ditampar beberapa kali di depan matanya malah dia pernah dipukul lelaki itu.
Katanya, selain itu, seluruh badan anaknya pernah mempunyai kesan lebam dan kesan dicucuh api rokok selain kulitnya melecur seperti disiram air panas.
“Ketika tinggal bersamanya di kuarters itu, saya cuba untuk melarikan diri tetapi dihalang teman lelaki kerana dia mengunci mangga pintu.
“Isterinya pernah memberitahu yang suaminya pernah membawa perempuan lain pulang dan tinggal bersama di kuarters sebelum ini menyebabkan saya tak kisah apabila dia bawa saya pulang ke rumah itu.
“Dia seorang yang panas baran dan suka pukul kalau tak ikut cakap dia, malah isterinya pernah menjadi mangsa dan saya kurang yakin isterinya terbabit bersubahat dalam perkara ini,” katanya.
Rosmaliah berkata, dia hanya mengetahui tengkorak dan rambut anaknya ditemui di kawasan semak di Gunung Raya, Langkawi melalui portal Harian Metro pagi tadi dan terkejut dengan apa yang berlaku pada anaknya itu.
Katanya, dia bermimpi anaknya datang kira-kira dua minggu lalu, rupa-rupanya ketika itu anaknya sudah meninggal dunia.
“Dalam mimpi saya, Aleya datang dan memberitahu ‘Mama mai ambik adik’ dan tidak lama selepas itu, mimpi hilang menyebabkan saya tidak sedap hati.
“Selama ini, Aleya tidak pernah mempunyai penyakit sawan seperti yang didakwa lelaki itu dan mungkin itu alasan diberikannya sebaik melihat anak saya sudah meninggal dunia.
“Saya dijangka melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Langkawi, esok untuk siasatan lanjut,” katanya
Sumber:harianmetro