Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menarik perhatian Sidang Dewan Rakyat hari ini apabila memaklumkan umur baginda sama dengan ulang tahun ke-60 Parlimen.
Secara berseloroh baginda bertitah:
“ Pada tahun ini Parlimen Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-60, sama umur dengan saya.”
Baginda yang agak santai ketika bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Kuala Lumpur hari ini, beberapa kali tersenyum lebar melihat ke arah ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sepanjang titah ucapan itu, Al-Sultan Abdullah juga sesekali meneguk air di hadapan baginda, sambil meminta ahli dewan bertenang.
“ Relaks, relaks,” titah baginda
Sikap bersahaja Al-Sultan Abdullah membuatkan ahli parlimen lebih selesa dan fokus kepada titah ucapan baginda.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah percaya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.
“ Islam bukan sekadar agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu malah ia adalah cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekalian alam,” titah baginda.
Kepada anasir yang menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara, baginda menitahkan supaya tindakan tegas diambil ke atas mereka.
Baginda bertitah, sehubungan itu seruan perpaduan hendaklah tidak tinggal sebagai slogan semata-mata.
“ Sebaliknya semangat perpaduan dan usaha perlu disuburkan dengan ikhlas dan dihargai,” titah baginda.
Lihat video di bawah
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Sumber : depakata