Allahuakbar! Tergamaknya dia buat macam tuu, hanya gara-gara tak puas hati kawan tukar agama

Posted on

HANYA kerana rakannya memeluk agama Islam, dua lelaki hilang pertimbangan sebelum bertindak memukul mangsa dengan besi di tepi jalan di Taman Kobis, Paya Besar, di Kulim, kelmarin.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 34 tahun sedang menunggang motosikal sebelum seorang lelaki dikenalinya berusia 43 tahun memanggilnya menyebabkan dia berpatah balik dan pergi ke arah suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, suspek kemudian meminta kepastian kepada mangsa sama ada benar dia sudah memeluk agama Islam sebelum dia mengaku menukar agama.

Menurutnya, kemudian abang suspek datang dari belakang dan menyentuh bahu mangsa, sebelum suspek mencapai besi dari gerai berhampiran dan memukul mangsa.

“Selepas memukul mangsa mereka melarikan diri. Mangsa yang lebam di kepala, tangan kiri dan betis kiri menerima rawatan di Hospital Kulim.

“Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim Hi Tech untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Safuan berkata, susulan itu, polis mengesan suspek sebelum menahannya 3 petang semalam berhampiran stesen minyak di Taman Kobis, Lunas, di sini.

“Siasatan awal suspek mengaku terbabit dalam kejadian memukul mangsa kerana tidak berpuas hati apabila kenalannya itu menukar agama.

“Semakan juga mendapati dia memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, mendatangkan kecederaan dan pecah masuk,” katanya.

Beliau berkata, perintah tahanan reman akan dipohon hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Cabaran Mualaf di zaman moden

ISLAM adalah sebuah agama lengkap yang menjadi panduan dalam kehidupan semua umat manusia di muka bumi ini. Agama ini relevan buat sesiapa sahaja sama ada yang lahir sebagai Islam, mahupun individu mualaf yang baharu mengenali dan memeluk agama ini.

Adapun mualaf itu merupakan panggilan kepada individu bukan Muslim atau bukan beragama Islam yang mempunyai keinginan untuk memeluk Islam. Mereka ini juga boleh dikategorikan sebagai individu yang imannya masih kosong dan perlu dikukuhkan dengan bantuan dan sokongan mereka yang sudah beragama Islam.

Dalam sejarah Islam , golongan mualaf atau saudara baharu ini merupakan orang yang paling penting dalam memperjuangkan agama dan mengembangkan dakwah.
Antaranya adalah sahabat Rasulullah SAW yang terdiri daripada golongan Muhajirin yang memeluk Islam dan mengikut baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah manakala golongan Ansar pula terdiri daripada suku Aus dan Khazraj.

Pada zaman moden yang serba canggih kini, usaha dalam mengembangkan dakwah menjadi mudah dan lebih meluas dengan adanya pelbagai platform yang tersedia seperti media sosial di internet.

Setiap hari kita didedahkan dengan pelbagai cerita menarik saudara baharu daripada seluruh dunia. Kisah- kisah yang mereka ceritakan termasuklah bagaimana mereka diberi hidayah, menemui dan mengenali agama Islam serta rintangan yang mereka hadapi setelah memeluk Islam.

Bergelar saudara baharu bukan perkara mudah. Kerana, seperti mereka yang lahiriah Islam, golongan mualaf juga berdepan banyak rintangan dan cabaran dalam kehidupan mereka.

Tambahan pula dengan kemajuan teknologi kini, pelbagai informasi sama ada sahih atau yang mengelirukan semakin pantas tersebar dan ini tidak terkecuali memberi kesan kepada kehidupan seorang mualaf.

Dalam pada itu, dengan kewujudan anasir-anasir perosak yang membawa ajaran-ajaran menyimpang dengan menggunakan nama Islam dikhuatiri akan membawa kekeliruan kepada golongan saudara baharu.

Bagi golongan mualaf yang masih muda, cabaran yang ditempuhi mereka tidak kurang hebatnya. Membuat keputusan memeluk Islam bukan perkara remeh. Ada di antara mereka yang terpaksa merahsiakan identiti sebagai seorang Islam bagi menjaga perasaan ahli keluarga dan orang tersayang.

Seperti kita semua, mereka juga mempunyai perasaan dan adakalanya dihimpit dengan tekanan yang menyusul selepas bergelar seorang Muslim. Ada di antara mereka dibuang daripada institusi keluarga dan dipulaukan rakan-rakan hanya kerana memeluk agama Islam.

Namun kebanyakan saudara-saudara baharu menyatakan kepada penulis bahawa mereka reda dan menganggap ini sebagai satu ujian yang diberikan kepada mereka. Golongan mualaf ini jelas tabah dalam mengharungi cabaran demi agama Islam yang dicintai.
Tambahan pula, dengan adanya pertubuhan atau persatuan yang memainkan peranan melindungi dan memberi sokongan kepada golongan ini sedikit sebanyak mampu memberi bimbingan kepada saudara baharu.
- AL FAIZAL

sumber : utusan hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.