Menurut Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur(Mufti WPKL), memburu Lailatul Qadr yang merupakan sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan adalah satu perbuatan yang dituntut.
Memperbanyakkan amalan soleh terutama di malam-malam terakhir Ramadan adalah digalakkan untuk kita melakukannya.
Bagi memperjelaskan lagi perkara tentang malam Lalilatul Qadr, berikut perkongsian amalan malam penuh berkat daripada Mufti WPKL.
Mukadimah
Memburu lailatul qadr yang merupakan sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan adalah satu perbuatan yang dituntut. Kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan untuk meraih pahala beribadah pada malam al-Qadr tersebut. Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadhan kali ini akan mengupas lebih lanjut berkenaan isu ini.
Bilakah Berlakunya Lailatul Qadr ?
Para ulama Islam mengatakan bahawa Lailatul Qadr berlaku pada bulan Ramadhan iaitu pada malam diturunkan padanya al-Quran. Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ
Maksudnya: Bulan Ramadhan yang mana padanya telah diturunkan al-Quran.
Surah al-Baqarah (185)
Begitu juga firman Allah S.W.T yang menyatakan bahawa al-Quran telah diturunkan pada malam al-Qadr iaitu:
إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr.
Surah al-Qadr (1)
Demikian juga firman Allah S.W.T:
إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةٖ مُّبَٰرَكَةٍۚ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.
Surah al-Dukhan (3)
Para ahli tafsir seperti Imam al-Thabari, Imam al-Baghawi, dan juga Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ketiga dari surah al-Dukhan di atas mereka menukilkan pandangan tokoh besar dari kalangan mufassirin seperti Imam Qatadah dan juga Imam Abu Zaid yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang mubarakah (diberkati) tersebut adalah Lailatul Qadr. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir al-Thabari (22/7).
Hari Apakah Dalam Bulan Ramadhan Berlakunya Lailatul Qadr ?
Setelah kita mengetahui bahawasanya Lailatul Qadr berlaku di dalam bulan Ramadhan, maka pada hari apakah ia berlaku di dalam bulan tersebut ? Adakah ia berlaku pada sepuluh malam terawal, sepuluh yang pertengahan, atau sepuluh malam yang terakhir ?
Menjawab persoalan ini, berikut kami kongsikan hadis-hadis yang berkaitan:
Pertama: Daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
تَحَيَّنُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ
Maksudnya: Carilah lailatul qadr itu pada 10 malam yang terakhir (bulan Ramadhan).
Riwayat Muslim (1165)
Kedua: Daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: Carilah kalian lailatul qadr itu pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.
Riwayat al-Bukhari (2017)
Berdasarkan kedua-dua riwayat yang sahih di atas, dapatlah kita faham dan ketahui bahawasanya lailatul qadr itu berlaku pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan dan ia berlaku pada salah satu malam dari malam-malam yang ganjil dalam sepuluh hari terakhir tersebut iaitu 21, 23, 25, 27, serta 29 Ramadhan.
Amalan Amalan Pada 10 Malam Terakhir Bulan Ramadhan
Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah baginda pada hari-hari yang lain.
Riwayat Muslim (1175)
Di antara amalan yang baginda lakukan adalah sebagaimana yang diriwayatkan juga oleh A’isyah R.anha:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَه وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).
Riwayat al-Bukhari (2024)
Tiga ibadah dalam hadis di atas yang baginda Rasulullah S.A.W lakukan pada sepuluh malam terakhir adalah seperti berikut:
Pertama: Mengetatkan ikatan di pinggang baginda.
Imam al-Hafiz Ibn Rajab Rahimahullah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat. Pertamanya ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Maksud yang kedua pula adalah Nabi S.A.W meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ibn Rajab mengatakan pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).
Kedua: Menghidupkan malam.
Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam ini ada dua kemungkinan:
- Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.
- Menghidupkan majoriti atau kebanyakan malam dengan ibadah.
Ini kerana, menghidupkan separuh malam juga telah dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).
Sebahagian fuqaha dari kalangan Syafi’eyyah berkata: (Ganjaran) menghidupkan malam itu dapat diperoleh dengan seseorang itu melakukan solat isyak secara berjamaah dan dia berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjamaah.
Begitu juga kata Imam al-Syafie Rahimahullah: Sesiapa yang menghadiri solat isyak dan solat subuh (secara berjamaah) pada lailatul qadr maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-qadr). Rujuk Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).
Ketiga: Membangunkan kaum keluarga untuk beribadah.
Ketika masuknya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, baginda S.A.W mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fathimah R.anha dan Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata:
أَلَا تَقُومَان فَتُصَلِّيَان
Maksudnya: Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat ?
Riwayat al-Bukhari (1127)
Kelebihan Beribadah Pada Lailatul Qadr
Di antara kelebihan menghidupkan malam al-Qadr dengan ibadah adalah seperti berikut:
Pertama: Dosa-dosa kecil diampunkan.
Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.
Riwayat al-Bukhari (1901)
Yang dimaksudkan dengan qiyam (menghidupkan) di situ adalah dengan menghidupkan malam lailatul qadar dengan ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beri’tikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan segala amalan soleh yang lain.
Kedua: Ganjaran amalan melebihi seribu bulan.
Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:
لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ
Maksudnya: Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.
Surah al-Qadr (3)
Kata al-Imam Ibrahim al-Nakhaie Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Beramal pada malam tersebut (lailatul qadr) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun. Lihat Lathaif al-Maarif, Ibn Rajab (Hlm. 341).
Penutup
Akhir kalam, semoga dengan pencerahan ini sedikit sebanyak dapat memberi galakan kepada kita untuk memperbanyakkan amalan soleh pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dalam usaha kita untuk memburu lailatul qadr. Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar Dia merezekikan kepada kita semua ganjaran beribadah pada malam tersebut yang merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan. Ameen.
Sumber: Mufti WPKL