Amaran cuaca buruk di Pahang, Kelantan dan Terengganu

Posted on

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Isnin dengan beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu dilanda banjir.

MetMalaysia dalam satu kenyataan petang ini memberitahu, hujan lebat dijangka berterusan di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan; Hulu Terengganu di Terengganu dan Rompin di Pahang.

Mereka juga menjangkakan hujan lebat di Kelantan dan Terengganu serta di kawasan Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan Mersing dan Kota Tinggi di Johor sehingga 2 Disember.

Di Kelantan, 29 orang daripada lima keluarga di Kampung Chenulang, Kota Bharu telah dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini selepas rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Pegawai Pertahanan Awam Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanid Omar berkata, kampung berhampiran seperti Kampung Enggong, Pasir Jering, Kuala Pertang dan Kebun Pisang juga bersedia untuk menghadapi banjir.

“Kami percaya lebih banyak penduduk kampung, terutamanya yang terletak berhampiran dengan sungai akan dipindahkan kerana paras sungai dijangkakan untuk meningkat,” katanya.

Di Terengganu, 283 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di daerah Besut dan Setiu setakat jam 2 petang.

Hujan lebat di Besut dan Setiu sejak malam semalam telah menyebabkan paras di tiga sungai di Setiu dan satu di Besut melepasi paras bahaya mengikut portal Jabatan Pengairan dan Saliran.

Dilaporkan juga beberapa sungai di daerah Hulu Terengganu dan Dungun, telah melepasi paras berjaga-jaga dan juga paras amaran. – Bernama

Sumber : Sinar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.