Anak Pukul Bapa

Anak Pukul Bapa Dengan Kayu Kerana Minta RM10

Posted on

Seorang lelaki tergamak memukul bapanya dengan sebatang kayu hanya kerana warga emas itu meminta wang RM10 untuk membeli sarapan pagi, 17 Oktober lalu.

Kejadian yang berlaku di Kampung Dusun Durian, Bekalam di sini itu menyebabkan mangsa yang berusia 62 tahun terpaksa menerima sembilan jahitan di kepala selain pergelangan tangan kanannya patah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 34 tahun itu dipercayai marah dengan bapanya yang meminta wang RM10 untuk membeli makanan.

Menurutnya, suspek kemudian menghubungi adiknya yang berusia 32 tahun dan memaklumkan dia telah memukul bapa mereka yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan kayu.

“Adik suspek kemudian bergegas ke rumah bapanya sebaik menge­tahui kejadian berkenaan dan mendapati warga emas itu ce­dera pada bahagian kepala.

“Mangsa terus dibawa ke Hospital Machang dekat sini dan menerima sembilan jahitan selain pergelangan tangannya juga patah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, menurut Mohamad Ismail, mangsa pada awalnya enggan melaporkan kejadian itu kepada polis, namun adik suspek telah bertindak membuat laporan di Balai Polis Jelawat di sini Khamis lalu iaitu empat hari selepas kejadian.

BACA: Bitcoin Mencatatkan Nilai Tertinggi Sepanjang Masa

Tambahnya, siasatan mendapati, warga emas itu enggan membuat laporan kerana khuatir suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah ditahan polis.

“Selepas menerima laporan, polis menahan suspek di rumahnya kira-kira pukul 5 petang pada hari yang sama.

“Polis turut merampas sebatang kayu yang sudah patah dipercayai digunakan lelaki itu semasa memukul bapanya.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Jumaat depan untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah Mohamad Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 326/326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.