Cadangan pelaksanaan lesen dan nombor plat ke atas basikal bukan dasar Kementerian Pengangkutan (MOT).
Menterinya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menegaskan, cadangan tersebut tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian.
“MOT menafikan sama sekali untuk melaksanakan cadangan seperti itu, malah ia juga tidak pernah dibangkitkan kepada saya.
“Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam pada itu jelasnya, sebarang komen yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) setakat ini tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya (untuk) mendapat kelulusan menteri.
“Agensi-agensi di bawah MOT perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk pejabat menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa MOT.
“Semua pengumuman polisi pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan menteri,” tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, bagi keselamatan penunggang basikal program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal akan di terus dipromosikan MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MIROS bersama persatuan-persatuan berkaitan secara berterusan.
“Program berkaitan keselamatan ini juga akan dibincangkan dan dikemas kini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan diadakan pada bulan ini.
“Dalam masa sama, saya juga ingin menasihatkan kepada semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika berbasikal di jalan raya kerana turut terikat di bawah peraturan-peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican menerusi ciapan di Twitter berkata, pihaknya menyeru agar rakyat tidak perlu dibebani dengan arahan seperti itu.
“Jangan tambah beban untuk rakyat aktif bersukan. Perlu libatkan suara ramai,” jelasnya.
Saya dimaklumkan, kajian keperluan pendaftaran dan nombor plat untuk basikal MIROS tidak pernah mendapat persetujuan Menteri berkenaan. Perlu penelitian. Jangan tambah beban untuk rakyat aktif bersukan. Perlu libatkan suara ramai. pic.twitter.com/ZoEdt6AigU
— Reezal Merican (@reezal_merican) September 16, 2020
Sumber: Menteri Pengangkutan, Menteri Belia dan Sukan