Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan ke atas individu yang menyebarkan berita palsu walaupun telah memadam kenyataan tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata pihak polis tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu tidak kira sesiapa dalangnya.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 217 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu COVID-19. Sebanyak 162 masih dalam siasatan manakala 23 sudah dituduh di mahkamah dan empat daripadanya telah mengaku salah.
“Saya ingin mengingatkan, setelah posting dikeluarkan, walaupun telah memadamnya, pihak polis masih boleh terus melakukan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang untuk menghadapkan mereka ke mahkamah dan sebagainya,” kata beliau.
Baru-baru ini ada individu yang membuat berita palsu, meminta maaf dan memadam kenyataan itu namun pihak polis memanggil individu tersebut untuk soal siasat, tambahnya.
“Jangan fikir keluar (kenyataan), minta maaf, padam. Itu tidak menyelesaikan masalah kerana tindakan masih boleh diteruskan,” ujar beliau.
Pihak polis akan bertindak terhadap sesiapa tidak kira melalui media sosial, portal media dan sebagainya. Jika berlaku, pihak polis tidak akan berkompromi, tegas beliau.
Ucapan bermula minit ke-12:00.