‘Spray Gun’ merupakan alatan membasmi kuman yang setiap rumah pasti memilikinya yang dikatakan dapat membantu nyah infeksi COVID-19 terutamanya apabila berada di rumah.
Pelbagai inovasi yang boleh dapat ketika ini dan ‘spray gun’ adalah alatan terkini lebih canggih untuk orang ramai praktik.
Namun, sejauh manakah keberkesanannya? Memang ia membantu untuk mencegah COVID-19, tetapi daripada segi keselamatan diri, ia belum tentu terutamanya apabila digunakan di rumah.
Menurut perkongsian Dr Izzar Anwari, beliau juga tidak menggalakkan untuk kita menggunakan ‘spray gun’ terutamanya di rumah kerana ada risiko keselamatan yang ibu bapa perlu tahu apabila guna alat ini.
Adakah ‘spray gun’ selamat untuk digunakan?
Sekarang ini, banyak jualan pada produk ‘spray gun’ untuk nyah infeksi (disinfection) permukaan-permukaan di rumah. Di pasaran ada banyak jenis alat semburan ini bergantung pada harga antaranya ‘electrostatic sprayer’, ‘fogger’, ‘misters’, atau ‘vaporizer’.
Alat ini berfungsi dengan menukar cecair kimia disinfeksi ke bentuk aerosol, lalu ia juga akan berada lama di ruang udara terutamanya jika kawasan itu tidak mempunyai sistem pengalihan udara yang bagus.
Bahan kimia dalam bentuk aerosol ini boleh memudaratkan kulit, mata atau pernafasan kita.
Penggunaan produk ini tidak dihalang untuk digunakan, digalakkan atau tidak digalakkan namun, apa yang boleh dikatakan, jika ia digunakan hendaklah sangat berhati-hati.
Jika ‘electrostatic sprayer’ atau ‘fogger’ digunakan :
1. Perlu digunakan oleh orang yang terlatih.
2. Menggunakan bahan kimia yang diluluskan.
3. Mengikut arahan pengeluar (keselamatan, penggunaan, masa penggunaan).
4. Memakai PPE yang cukup untuk melindungi keselamatan pengendali, orang di sekeliling, dan pengguna bilik selepas itu.
5. Guna dengan sangat berhati-hati jika di kawasan penyediaan makanan atau tempat anak-anak bermain.
Kena tahu dan fahami risiko :
a. Pendedahan kepada bahan kimia nyah disinfeksi dalam bentuk aerosol boleh memudaratkan kulit, mata, dan pernafasan
b. Risiko mudarat adalah lebih besar jika digunakan di kawasan penyediaan makanan, atau tempat anak-anak bermain.
c. Setiap alat berbeza mempunyai cara penggunaan dan risiko keselamatan berbeza. Biar orang terlatih yang lakukannya.
Dalam kebanyakan keadaan, mencuci permukaan dengan sabun sudah cukup untuk mengurangkan COVID-19.
Lepas itu kalau mahu lebih sikit, lakukan disinfeksi dengan kaedah biasa seperti lap dengan cecair, tisu basah atau botol semburan disinfeksi sudah memadai. Memang tidak canggih atau ‘cool’ seperti ‘spray gun’, tetapi penggunaannya lebih selamat.
Jadi, bagi saya untuk penggunaan di rumah, tidak perlu ‘spray gun’. Risiko juga tinggi kalau diguna dengan cara salah.
Sumber: Mingguan Wanita