ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar penghadang tengah lebuh raya di Kilometer 411, Lebuhraya Utara Selatan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi, Lans Koperal Mohd Azmi Zainal Abidin, 30, yang bertugas di Balai Polis Kepong, Kuala Lumpur disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kemalangan itu membabitkan dua motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa dan rakannya.
“Kemalangan berlaku ketika kedua-dua motosikal berkenaan bersama 20 motosikal lain berkonvoi dari Kuala Lumpur menuju ke Sungkai, Perak.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa melanggar motosikal rakannya, Lans Koperal Abdul Halim Don menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas dan melanggar penghadang tengah lebuh raya sebelum terjatuh di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Azman berkata, kejadian itu menyebabkan Mohd Azmi meninggal dunia di lokasi manakala rakannya yang bertugas sebagai anggota Pasukan Simpanan Persekutuan parah di kaki dan dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.
“Mayat mangsa pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat. Kejadian itu menyebabkan motosikal kedua-dua mangsa rosak di bahagian hadapan, belakang dan sisi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.