Israel terus membedil Genting Gaza malam semalam dalam siri serangan berterusan selama seminggu yang telah membunuh lebih 200 penduduk setakat ini, sekali gus memaksa para pemimpin dunia untuk mencari penyelesaian.
Dalam satu panggilan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyokong gencatan senjata, tidak lama selepas para diplomat berkata bahawa Washington telah menyekat rancangan ketiga resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan keganasan tersebut.
Menurut White House, Biden menyatakan sokongannya terhadap gencatan senjata dan berbincang mengenai penglibatan AS dengan Mesir serta negara-negara lain untuk rancangan tersebut.
“Biden menegaskan sokongannya terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri daripada serangan roket.
“Beliau menggalakkan Israel untuk melakukan segala yang termampu bagi memelihara keselamatan orang awam,” ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan berkata, sejumlah 212 penduduk Palestin terbunuh di Gaza termasuk sekurang-kurangnya 61 orang kanak-kanak dan lebih 1,400 tercedera dalam serangan udara Rejim Zionis.
Manakala pejuang Hamas telah melancarkan kira-kira 3,350 serangan roket ke arah Israel sejak konflik itu bermula pada 10 Mei lepas, yang merupakan serangan terbanyak sejak bertahun lamanya.
Dalam pada itu, Rejim Zionis melancarkan tembakan artileri terhadap Lubnan semalam sebagai serangan balas terhadap serangan roket yang dilancarkan negara itu, yang gagal mengenai Israel.
“Enam serangan tersasar dikenalpasti datangnya dari Lubnan dan tidak mengenai wilayah Israel,” ujar tentera Israel dalam satu kenyataan.
Menurut sumber tentera Lubnan, tiga roket dilancarkan dari selatan Lubnan, tidak jauh dari sempadan Israel.
“Situasi di kawasan itu kini dalam keadaan tenang,” tulis misi keamanan PBB di Twitter.
sumber: Kosmo Online